Yayasan Bandaraya Johor Bahru kini dalam proses mengenalpasti bangunan yang bersesuaian untuk dibangunkan sebagai rumah transit kepada golongan gelandangan di situ.
Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata mereka bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan NGO-NGO prihatin dalam mencapai matlamat tersebut.
Mazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri berkata rumah transit itu bukan sekadar bertujuan menjadi pusat pengumpulan golongan gelandangan malah merupakan langkah awal pihaknya dalam membantu mereka kembali berdikari.
Selain menyediakan tempat berteduh, dan menyediakan juadah makanan untuk gelandangan, rumah transit ini juga akan menjadi platform untuk yayasan dan NGO-NGO lain mengenalpasti masalah yang menghimpit gelandangan ini.
“Kita berharap dengan adanya rumah transit ini, golongan gelandangan ini tidak akan terlibat dengan gejala sosial,” Mazlan bercakap kepada pemberita sejurus tamat Program Jalinan Kasih Jalanan di sini, Khamis malam.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa usaha tersebut akan menjadi realiti dengan kewujudan NGO-NGO yang peka dengan tanggungjawab sosial mereka kepada golongan yang memerlukan.
Pada program itu, Mazlan dan juga anggota NGO bersama-sama mengedarkan sumbangan yang berbentuk produk kebersihan peribadi dan makanan kepada golongan terbabit.
Salah seorang penerima sumbangan yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Yem, 53, berkata hidup di jalanan sudah menjadi lumrah dalam kehidupannnya sejak dua tahun lepas.
Lelaki yang berasal dari Mersing itu berkata masalah usus yang kronik menyebabkan beliau tidak mampu untuk bekerja seperti dahulu, lantas terpaksa meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan kebajikan dan simpati daripada masyarakat.
Wak Yem juga bersyukur kerana masyarakat setempat tidak lokek untuk menghulurkan bantuan terutamanya dari segi kewangan untuk menyara makan-minumnya.
“Sebab itu saya amat berterima kasih dengan masyarakat yang prihatin. Apabila saya nampak mereka (NGO) datang malam ini saya sangat-sangat gembira kerana saya tahu perut saya akan berisi malam ini,” katanya sambil tersenyum. .
Sementara itu Pengerusi Kelab Amal Bakti Johor - salah satu NGO yang menyertai program itu, Abdul Bari Tugiran berkata bukan kesemua mereka ini memilih jalan yang salah dalam kehidupan sehingga menjadi gelandangan.
Ada di antara mereka, katanya berhijrah dari negeri lain untuk mencari rezeki namun kerana kekangan ekonomi menyebabkan mereka terpaksa tinggal di jalanan.
“Ada juga di antara mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik sehingga tidak dapat bekerja. Ada yang kehilangan pekerjaan dan tidak dapat bangkit semula... ada juga yang dibuang keluarga dan sebagainya,” kata Abdul Bari.
Setiausaha Kelab tersebut, Puteri Sahara Abd Jalil pula berpendapat masyarakat tidak seharusnya mengaitkan golongan gelandangan dengan aktiviti jenayah mahupun gejala sosial.
“Gelandangan ini walaupun pakaiannya lusuh tapi mereka masih berpakaian kemas. Dan mereka boleh dilihat sentiasa bersama-sama dengan barang peribadi mereka seperti beg dan sebagainya.
Jika penagih pula, memang boleh nampak dari segi pemakaian mereka yang tidak terurus dan kebiasaannya mereka ni sehelai sepinggang,” katanya apabila mencerikan pengalamannya menjadi sukarelawan.
—Bernama
