Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK CAMERON l Sejak tidak lagi menjadi kerajaan selepas tumbang pada pilihan raya umum ke-14, BN menggunakan strategi dan slogan berbeza. Bagi pilihan raya kecil Cameron Highlands, slogan mereka adalah “tiada janji, lihat bukti.”

Tetapi bagi masyarakat India di Blue Valley, yang membentuk 81 peratus daripada pengundi di pusat daerah mengundi ini, satu-satunya bukti yang mereka saksikan adalah janji-janji kosong BN untuk membantu mereka.

Semasa lawatan baru-baru ini ke kawasan itu, Malaysiakini berjumpa dengan  Ramsamy, 72, dan anak perempuannya R Revathi, 49 di rumah kayu mereka yang usang yang juga dijadikan gerai makanan untuk pekerja-pekerja dari ladang-ladang sekitarnya.

Sejak 30 tahun lalu, mereka telah menetap dan menjalankan perniagaan di sana. Walau bagaimanapun, tempat berteduh mereka sejak sekian lama itu kini berdepan risiko diruntuhkan manakala permohonan Ramsamy untuk mendapatkan lesen perniagaan terus ditolak.

Revathi berkata beliau telah memohon bagi mendapatkan lesen daripada kerajaan negeri Pahang sejak sekian lama tetapiusahanya terus tidak membuahkan sebarang hasil. Dia sekadar diberitahu untuk menunggu dan kesabaran mereka semakan tipis.

"Mereka potong air, api (elektrik) kita, kami tak lagi selamat. Ada orang datang dan memusnahkan bumbung depan," katanya.

Bumbung zink yang kebanyakannya berkarat dan bocor itu membolehkan cahaya matahari menyinar masuk. Ketika itu, tidak ada pelanggan di gerai tersebut.

Pondok usang mereka itu adalah tinggalan apa yang pernah menjadi perkampungan perladangan teh di Blue Valley ini. Sebahagian besar penduduk telah ditempatkan semula atau dipindahkan.

Katanya, pemilik estet baru berkenaan menawarkan sebahagian besar bekas jiran mereka pampasan supaya meninggalkan kawasan itu, kecuali mereka.

"Kami tunggu mereka datang untuk bercakap dengan kami (mengenai pampasan)," katanya.

Revathi dan beberapa penduduk lain dalam keadaan yang sama telah meminta pertolongan daripada Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob pada tahun 2017.

"Dia hanya beritahu kami untuk tunggu. Tunggu, tunggu, tunggu, sampai bila kami perlu tunggu?" soalnya.

Menceritakan pengalaman hampir sama, K Nehru, 29, berkata keluarganya cuba memohon lesen pendudukan sementara untuk ladang bapanya yang seluas dua ekar selama 30 tahun.

"Dia sudah mohon lesen selama 30 tahun, dan kami masih belum dapat sampai sekarang," katanya kepada Malaysiakini.

Pada tahun 2015 rumah keluarganya musnah dalam kejadian tanah runtuh. Akibatnya, Nehru mengalami kecederaan serius dan tidak lagi dapat bekerja.

"Kami telah cuba banyak kali untuk jumpa dengan MIC dan BN, tetapi tak ada yang membantu kami.

"Tetapi bila masa mengundi, mereka datang, kata mahu bantu kami, tetapi hingga hari ini kami tak dapat bantuan," kata Nehru.

Katanya, dia juga ada memohon lesen untuk membuka bengkel sendiri supaya boleh menjalankan kerja-kerja kimpalan, tetapi itu juga tidak berhasil.

Keluarganya - ibu bapanya yang uzur, adiknya dan dirinya sendiri - kini tinggal di sebuah rumah sewa. Mereka terpaksa berhempaspulas untuk membayar sewa RM1,000 sebulan.

Nehru berkata beliau hanya mahu mendapatkan lesen untuk ladang keluarganya dan bengkelnya serta membina semula rumahnya.

"Mereka (ahli politik) buat janji, tetapi tidak pernah tunaikannya," katanya mengeluh.

S Siva Balan, 34, juga mengadu tentang janji-janji kosong oleh pentadbiran BN negeri. Beliau juga adalah sebahagian daripada perwakilan yang berjumpa dengan Adnan pada tahun 2017.

Siva Balan, seorang pemandu lori pula berharap dapat membuka perniagaan mencuci kereta di Blue Valley.

Pelbagai usaha telah dijalankannya termasuk berjumpa dan merayu kepada Adnan sebagai jalan terakhir.

"Mereka hanya buat janji, selepas pilihan raya umum ke-14, kita tidak pernah dapat berita," kata Siva Balan.

Ramsamy, yang mengundi sejak 10 pilihan raya umum lalu, berkata beliau secara konsisten mengundi BN, kecuali pada pilihan raya umum ke-14.

Bosan dengan janji kosong BN, beliau berkata beliau mengundi "roket" pada pilihan raya umum lalu, merujuk kepada parti DAP.

"Mereka (Pakatan Harapan) masih baru, kami tidak tahu bagaimana mereka akan bantu kami. Kita tengok dulu," katanya.

Daripada 246 pengundi di Blue Valley, kira-kira 53 peratus mengundi PH pada pilihan raya lalu, diikuti BN sebanyak 35 peratus dan PSM 10 peratus.

Lihat Komen
ADS