Pembukaan pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bukit Kayu Hitam secara 24 jam mampu merancakkan aktiviti perdagangan serta berupaya menyumbang kepada perkembangan industri logistik di Kedah.
Menteri Besar Mukhriz Mahathir berkata walaupun pelaksanaannya hanya melibatkan tambahan masa enam jam daripada tempoh operasi sekarang iaitu 18 jam, ia dilihat akan memberikan ruang masa tanpa had kepada aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Thailand.
"Pada masa ini pintu sempadan beroperasi 18 jam dan apabila menjadi 24 jam, ia bermaksud penambahan masa itu berlaku pada waktu malam dan keadaan ini akan membuka peluang yang lebih kepada aktiviti perdagangan.
"Oleh kerana kita nak menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pelabuhan dalaman, jadi perkhidmatan logistik di situ akan dibangunkan,” katanya kepada pemberita pada Program Sayangi Eko Bukit Wang di Jitra, hari ini.
Pintu sempadan di CIQ Bukit Kayu Hitam yang pada masa ini beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam akan beroperasi secara 24 jam mulai 1 April depan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand secara 24 jam mampu menyelaraskan keselamatan dan meningkatkan kesalinghubungan sempadan untuk memudahkan pergerakan barangan di sempadan.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata perancangan pembangunan di Bukit Kayu Hitam khususnya melalui projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) mampu menjadikan kawasan itu sebagai hab logistik.
"Buat permulaan bagi ke arah itu, kita akan bangunkan depot trak di kawasan itu melalui peruntukan diberikan Kementerian Kewangan sebanyak RM25 juta seperti mana disebut dalam pembentangan Bajet 2019 sebelum ini," katanya.
- Bernama
