Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Suhu politik di Cameron Highlands nampaknya belum menampakkan tanda-tanda untuk kembali ke keadaan asal buat masa ini.

Dalam tempoh sehari dua ini, Cameron Highlands masih hangat berbahang. Ia berlaku ketika siang di kawasan pelancongan tanah tinggi itu memang sudah tidak lagi sesejuk dulu.

Sejak Sabtu hingga hari ini Cameron Highlands ialah cerita penuh manis dan lazat buat BN dan rakan karib mereka, PAS. Sebaliknya ia adalah tempoh mencabar buat PH yang baru lapan bulan bertakhta di Putrajaya.

Perasaan dua kelompok bertentangan itu secara umumnya adalah seimbang.

BN gembira seolah-olah mereka kembali menjadi kerajaan pusat. PH pula berdukacita seperti esok nak kiamat.

PAS - seperti selalu - akan berkisah tentang kejayaan masa silam, masa kini dan masa depan mereka. PAS memang tidak pernah kalah. Kalau tidak percaya, tanyalah pemimpin mereka.

Dalam kitab politik PAS, mereka hanya ada dua kemungkinan: telah menang, atau sudah terlalu hampir untuk menang.

Tidak lagi diketawakan

Di sebalik semua itu sebenarnya ada beberapa perkara yang menarik perhatian di PRK Cameron Highlands.

Pertama, Ia bukan sekadar tentang Malaysia Baru tetapi susuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membawa harapan baru.

Tapi itulah, BN terlalu asyik dibuai kemenangan seolah-olah pemimpin agung mereka - Najib Razak - sudah menjejakkan kaki kembali ke Putrajaya. PH pula mabuk dan terkapai-kapai seolah-olah sudah hilang kuasa.

Dan tidak ada sesiapa yang benar-benar mengucapkan terima kasih kepada SPR.

SPR di bawah Azhar 'Art' Harun menjadi entiti yang mula kembali diyakini. SPR bukan lagi suatu lembaga yang layak diketawakan kerana kebebalan mereka, atau menjadi tempat memuntahkan maki hamun.

Mungkin terlalu awal untuk menganggap SPR sudah bebas sebebas-bebasnya, tapi ada harapan ia akan bergerak ke arah itu.

Kesan daripada wibawa SPR yang kembali dibina itu, tiada lagi rungutan signifikan terhadap badan tersebut. Memanglah ada seorang dua yang mengkritik SPR menjelang PRK kelmarin, tetapi mereka bolehlah dianggap seperti budak-budak yang sudah masuk tahun satu tapi masih merengek kerana terkenangkan botol susu di rumah.

Dengan wibawa dan kecekapan SPR, PH - sebagai kerajaan pusat - tidak lagi memiliki banyak kelebihan. Padang permainan di antara parti kerajaan dengan pembangkang mula tidak terlalu ketara jurangnya.

Natijah daripada itu ialah, calon yang dipertaruhkan kerajaan pusat ditolak dengan ketara oleh majoriti pengundi.

Bayangkan kalau PRU atau PRK lalu diuruskan oleh SPR yang sekarang. Mungkin rakyat Malaysia tidak perlu menunggu sehingga 60 tahun untuk menolak keluar BN dari Putrajaya.

Dan di pihak PH pula, jangan banyak main. Kamu boleh ditendang dari kuasa pada bila-bila masa saja.

Kedua, Najib akhirnya berjaya menunjukkan bakat sebenar beliau yang terpendam sekian lama.

Bakat sebenar pun menjelma

Pada tahun-tahun terakhir beliau sebagai perdana menteri Najib sudah mencuba beberapa wajah untuk memikat rakyat di negara ini. Daripada penyelamat negara, ke rakan Donald Trump untuk menyelamatkan ekonomi AS, bertukar menjadi panglima, kemudian menjelma sebagai pendekar, tak lupa sebagai anak Bugis yang handal belayar.

Apa yang Najib dapat ialah sepanduk "I Love PM". Projek mempotretkan beliau dengan segala watak itu, gagal. Selebihnya Najib jadi bahan jenaka dan gurauan terutama di media sosial atau pentas ceramah.

Selepas terlucut kuasa barulah Najib muncul dengan bakat sebenarnya iaitu Raja Troll.

Pun begitu Najib perlu mengasah bakat itu dengan lebih gigih lagi kerana penampilan beliau secara fizikal di khalayak ramai masih gamang macam biasa. Berbeza benar kalau dibandingkan keletah dan lucu beliau di media sosial.

Masakan boleh wujud dua personaliti dari batang tubuh yang sama, kan? Sedangkan Najib mengaku beliau tiada laskar siber upahan selepas jera mereka menghabiskan berasnya dulu.

Dan takkanlah seorang negarawan yang dikagumi dunia seperti Najib itu boleh berbohong, kan?

Jika Najib sudah diketahui bakat sebenarnya, apa pula bakat PAS yang dapat dicerap daripada PRK Cameron Highlands gamaknya?

Ketiga, Umno sangat tidak patut kalau melupakan nama seorang tokoh yang berjasa besar memberi sumbangan kepada kemenangan Ramli Mohd Nor.

Nama tokoh itu agak lama tenggelam daripada lidah orang besar Umno dan PAS. Tokoh yang dimaksudkan ialah Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa keberanian pencak Ahmad Zahid, tidak mungkin kelibat negarawan lain seperti Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan yang sewaktu dengan mereka hadir mengajak penyokong PAS memangkah Ramli.

Malah, khabarnya ada yang sebak hingga menitiskan air mata!

Sekurang-kurangnya tumbangkanlah dua tiga ekor lembu atau kerbau untuk dibuat kenduri kesyukuran. Ajak Ahmad Zahid dan Abdul Hadi datang sebagai tetamu kehormat.

Macam sumpah-sumpah

Kecualilah Umno memang mahu mengenggelamkan jasa tokoh dari Bagan Datuk itu.

Keempat, media tidak lagi terhalang oleh kebimbangan akan dimarah oleh menteri, pemimpin parti atau SPR kerana melaporkan yang jelik-jelik.

Malaysiakini misalnya melaporkan beberapa kejanggalan yang berlaku dalam proses berkempen. Kemunculan papan tanda projek yang tiba-tiba, atau penggunaan kenderaan jabatan kerajaan adalah antara contoh yang dapat dilihat beberapa hari lalu.

Media tugasnya bukan menyampaikan laporan untuk menyeronokkan penguasa, sebaliknya menjadi pelapor dan pemantau yang bebas.

Silap besarlah mana-mana pemimpin atau parti yang menganggap media bebas adalah entiti yang mesti mengikut telunjuk penguasa semata-mata.

Mungkin ada sesetengah organisasi masih bertatih untuk memahami realiti ini, tetapi daripada langsung tidak berbuat apa-apa lebih baiklah belajar mengadaptasi perlahan-lahan.

Sedangkan sumpah-sumpah pun memerlukan sedikit masa untuk mengubah warna kulitnya.

Akirnya, yang kelima, PH mesti mendengar suara ramai yang bergema bukan saja di Cameron Highlands tapi di seluruh negara. Kerajaan wajib mengakui:

Kos sara hidup meningkat itu benar,

harapan menggunung melihat janji-janji pilihan raya ditunaikan itu benar,

meluat melihat sikap bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk itu benar,

paranoid tentang kelangsungan bangsa itu benar,

kemunculan tukang-tukang angguk, pak-pak sanggup dan pengampu-pengampu itu benar,

kematangan untuk menapis khabar palsu dan sahih belum dicapai itu benar,

percaya kepada olokan (hoax) sangat menebal itu benar.

PH perlu menyedari mereka jauh bernasib malang berbanding BN kerana mendapat kuasa ketika gerbang teknologi maklumat terbuka begitu luas.

Pada masa sama BN - dan dulu Perikatan - pula amat bernasib baik kerana semasa mula mentadbir negara, surat khabar adalah wadah utama untuk menghantar atau menerima maklumat.

Andainya ketika itu internet dan media sosial sudah wujud, belum tentu BN mampu bertahan sehingga lebih enam dekad lamanya.

Justeru kemudahan yang ada pada hari ini adalah rahmat dan bala sekali gus buat PH. Ia memaksa mereka mengurus negara dengan sebaik mungkin atau kelak hayat politik masing-masing akan berakhir di dalam longkang sejarah.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang gemar minum teh di Cameron Highlands walaupun ia sudah tidak sejuk.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS