Persatuan Sarawak Women for Women Society (SWWS) mengesyorkan agar sebarang undang-undang yang dirancang bagi menjadikan perbuatan mengintai atau menghendap sebagai satu jenayah, turut meliputi perbuatan itu di alam siber.
SWWS dalam kenyataan hari ini berkata dengan ketiadaan undang-undang yang berkaitan mengintai atau menghendap, mangsa dilihat tidak mempunyai ruang untuk mendapatkan perlindungan.
Bagaimanapun SWWS yakin dengan adanya undang-undang berkaitan perbuatan itu, kemudaratan fizikal dan tekanan psikologi akan dapat dielakkan.
“Perbuatan mengintai atau menghendap sekiranya tidak dibendung, boleh membawa kepada gangguan seksual sebagaimana yang dibuktikan menerusi beberapa aduan yang yang diterima daripada mangsa gangguan sedemikian,” kata SWWS, sambil memuji tindakan menteri di Jabatan Perdana Menteri mengkaji undang-undang berkenaan.
Kenyataan itu berkata perbuatan mengintai atau menghendap juga boleh membawa kesan yang buruk terhadap mental serta emosi mangsa, dan ini boleh membawa kepada keadaan yang lebih teruk seperti keganasan fizikal.
- Bernama
