Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GFI: Malaysia di tempat ke-3 aliran keluar wang haram pada 2015
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 9:11 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Malaysia menduduki tangga ketiga dalam aliran keluar wang haram pada tahun 2015, menurut satu kajian oleh Global Financial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington.

GFI membuat kesimpulan itu berdasarkan data dari Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memperoleh keputusan berbeza disebabkan oleh metodologi yang digunakan.

Bagaimanapun, kedua-dua data itu mendapati China berada di kedudukan nombor satu dalam aliran keluar wang haram, diikuti oleh Mexico, Malaysia dan Rusia. 

Kajian ini melibatkan 148 negara.

Seperti laporan pada masa lalu badan itu, GFI percaya aliran keluar wang haram kebanyakannya disebabkan oleh 'misinvoicing' dan kebocoran dalam imbangan pembayaran.

"Dagangan misinvoicing dicapai dengan menyalahtafsirkan nilai atau jumlah eksport atau import pada invois Kastam.

"Trade misinvoicing adalah bentuk pengubahan wang haram berasaskan perdagangan yang dimungkinkan oleh fakta bahawa rakan perdagangan menulis dokumen perdagangan mereka sendiri, atau mengatur untuk menyediakan dokumen-dokumen di negara ketiga (biasanya tempat berlindung cukai (Tax-haven) - satu kaedah yang dikenali sebagai re-invoicing," jelasnya.

 "Manipulasi penipuan harga, kuantiti, atau kualiti barang atau perkhidmatan pada invois membolehkan penjenayah, pegawai kerajaan yang korup dan pengutip cukai komersial untuk mengalihkan jumlah wang yang banyak di seluruh sempadan antarabangsa dengan cepat, mudah dan hampir selalu tidak dapat dikesan," kata badan itu.

Ia menjelaskan bahawa aliran kewangan haram akan menjejaskan lebih banyak negara membangun, terutamanya dalam kutipan cukai dan pertumbuhan ekonomi.

Untuk mengatasi aliran kewangan tidak sah, GFI mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan pendaftaran awam pemilikan bermanfaat (beneficial ownership).

Undang-undang anti-pengubahan wang haram juga harus dikuatkuasakan dengan ketat dan syarikat-syarikat multinasional harus dipaksa mendedahkan semua penyata kewangan secara terbuka berdasarkan negara-negara.

Laporan GFI 'Aliran Wang Haram dari 148 negara membangun: 2006-2015' itu adalah laporan kelapan dalam siri ini.

Lihat Komen
ADS