Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 akan memperkenalkan arahan Perdana Menteri dalam pengurusan had bidang kuasa antara menteri dengan ketua setiausaha, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata ia dilakukan sebagai usaha untuk memisahkan pentadbiran kerajaan daripada pengaruh politik.
"Ini penting sebagai usaha untuk mengelakkan sebarang salah guna kuasa daripada berlaku,” katanya ketika melancarkan NACP 2019-2023 itu di Putrajaya, hari ini.
NACP 2019-2023 dilaksanakan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama. Ia mengandungi 115 inisiatif antirasuah melibatkan sektor iaitu politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.
Pelan itu dibangunkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan.

Dr Mahathir berharap penjawat awam terutamanya ketua-ketua jabatan untuk menentukan apa yang terkandung dalam pelan itu bukan sahaja dilaksanakan tetapi memastikan untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Dr Mahathir berkata inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional itu tidak boleh dilaksanakan oleh beliau seorang diri atau GIACC sahaja dan menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau agensi yang diberi tanggungjawab mengenai governans dan integriti sahaja.
"Ianya adalah tanggungjawab semua pihak.
"Daripada Perdana Menteri sehinggalah kepada guru-guru di tadika terutamanya di dalam menanam nilai yang baik dan benci kepada rasuah di kalangan anak-anak kita,” katanya pada majlis pelancaran yang turut dihadiri menteri-menteri kabinet itu dan pegawai kanan kerajaan.
Dr Mahathir berkata nilai itu akan lebih bermakna jika menteri-menteri kabinet, ketua-ketua menteri, menteri-menteri besar dan lain-lain jawatan yang diamanahkan oleh rakyat memperlihatkan tauladan dalam mencapai integriti, bebas rasuah, tidak menyalah guna kuasa dan beramanah.
Beliau berkata langkah pertama yang diambil iaitu mengisytihar harta adalah amat baik kerana rakyat akan tahu "berapa nilai kita" sebelum memegang jawatan dan selepas.

"Jika tiba-tiba kekayaan meningkat secara mendadak pasti menimbulkan persoalan dan menarik minat agensi-agensi antirasuah,” katanya.
Dr Mahathir mengingatkan bahawa kemenangan yang dicapai Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah kerana memperjuangkan governans dan integriti.
"Kita tidak ada pilihan lain selain mengutamakan governans dan integriti. Ini pilihan rakyat dan diamanahkan kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Dalam Pelan Antirasuah Nasional itu, Dr Mahathir berkata ia meletakkan kepentingan kepada pewujudan rang undang-undang berkaitan pembiayaan politik.
Dr Mahathir berkata pelan itu telah menilai risiko rasuah di peringkat akar umbi dan memberi fokus kepada enam bidang yang dikenal pasti sebagai bidang keutamaan yang cenderung kepada rasuah.

Bidang-bidang itu ialah perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; tadbir urus politik; tadbir urus korporat; pentadbiran sektor awam dan perundangan dan kehakiman.
Menurut Dr Mahathir, enam bidang utama itu sekiranya tidak ditangani, masalah rasuah dalam negara akan menjadi lebih parah daripada apa yang telah dilihat sebelum ini.
Beliau berkata terdapat 115 inisiatif yang dirancang dalam pelan itu dan kesemuanya berhasrat untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah.
- Bernama
