Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: Pelantikan Sheikh Omar dalam Yadim atas kelayakan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof mengesahkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Johor Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mujahid berkata pelantikan Adun dari DAP itu tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan dimilikinya.

"Sheikh Omar dilantik atas kelayakannya sebagai seorang yang ada latar belakang agama.

"Tidak ada persepsi (negatif), dia seorang muslim, ada merit dan dia juga ada sumbangan idea yang baik sebelum ini.

"Dia seorang aktivis dengan pemahaman Islam yang jelas, hanya kerana dia ahli DAP dan kita hendak menafikan hak dia tidak betullah," katanya pada sidang media selepas sesi Townhall bersama penyelidik dan pengamal media di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan mengenai pelantik Adun DAP sebagai lembaga pemegang amanah Yadim.

Sheikh Omar

Menurut sumber, Sheikh Omar dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.

Sheikh Omar, yang juga exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor, mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Pelantikan Sheikh Omar itu dipercayai yang pertama melibatkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan pusat.

Sumber juga berkata latar belakang Sheikh Omar sebagai pemimpin DAP bukan masalah untuk pelantikan itu.

“Kalau kita ingat, Sheikh Omar dulu pernah dispekulasi sebagai bakal exco agama (Johor), tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Lagi pun bidang pengajiannya memang dalam pengajian Islam,” katanya.

Yadim kini dipimpin oleh Yang Dipertuanya yang baru Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat.

Lihat Komen
ADS