Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Penentuan tahap kemiskinan berpandukan paras garis kemiskinan (PGK) perlu dikaji semula.

Menurut pensyarah kanan Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas) Dr Lee Hwok Aun, adalah tidak masuk akal untuk menerima kadar kemiskinan negara begitu rendah sedangkan masih ramai rakyat yang memerlukan bantuan.

“Cara pengiraannya (PGK) agak munasabah kerana megikut amalan yang baik. Justeru ada perbezaan garis kemiskinan di antara kawasan bandar dan kampung, serta kos hidup yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak.

"Secara dasar, cara pengiraan tidak bermasalah, tetapi maklumat yang dimasukkan (untuk pengiraan) sehinggalah kita memperoleh nombor-nombor ini, (itu yang bermasalah),” katanya dalam forum ‘Polisi Ekonomi PH, Bela Rakyat atau Korporat?’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) semalam.

Forum itu turut disertai pengasas badan pemikir Blindspot, Azlan Awang, dan mantan anggota parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj sebagai ahli panel. Aktivis hak asasi manusia, E Nalini bertindak sebagai moderator.

Lee memetik laporan tahun 2016 yang menggariskan RM970 sebagai PGK bagi isi rumah di kawasan bandar Semenanjung Malaysia dan RM830 untuk kawasan kampung.

Di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula PGK berada pada kadar RM1,170 (bandar) dan RM1,220 (kampung), manakala di Sarawak RM1,070 (bandar) dan RM940 (kampung).

Kerajaan bimbang 'gagal'

PGK tersebut adalah untuk isi rumah seramai empat orang.

Untuk rekod, hanya isi rumah yang mempunyai pendapatan bawah paras PGK saja layak dianggap sebagai miskin.

Sementara itu, Lee turut memaparkan situasi kemiskinan di Malaysia yang menyaksikan kadar kemiskinan menurun setiap tahun sehingga hanya mencatatkan kadar 0.4 peratus pada 2016.

“Buat masa ini, agak mengarut apabila paras kemiskinan kita (hampir) sifar,” tambahnya lagi.

Lee turut menjelaskan, keengganan untuk mengkaji semula PGK yang dipamerkan sejak pentadbiran terdahulu mungkin disebabkan kerajaan tidak mahu mencacatkan rekod baik dalam usaha mereka membasmi kemiskinan.

Kata Lee, sekiranya dikaji semula, PGK mungkin akan mengalami peningkatan dan menyebabkan lebih ramai rakyat termasuk dalam golongan miskin, justeru boleh disalah anggap sebagai ‘kegagalan’ kerajaan.

“Ia bukan kegagalan, kerana anda harus juga buat pengiraan semula (PGK) untuk tahun-tahun sebelumnya.

“Kejayaan Malaysia (dalam membasmi kemiskinan) tidak akan terjejas dan akan tetap kelihatan (dalam rekod), cuma ia akan menjadi sesuatu (petunjuk) yang lebih berkredibiliti (berbanding PGK sebelumnya),” jelasnya lagi. 

Lihat Komen
ADS