BERITA

Dakwaan pelajar 'Hindu' dipaksa belajar pendidikan Islam, bapa minta perhatian kementerian

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Feb 2019, 3:38 petang

Seorang pemandu Grab, P Manivanan, 50 tahun mendakwa anak perempuannya yang beragama 'Hindu' dipaksa mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.

Hal ini, katanya berlaku walaupun usaha isterinya, ibu kepada anak perempuan itu untuk keluar agama Islam masih dalam proses rayuan di mahkamah.

Sehubungan itu, Manivanan menggesa Kementerian Pendidikan untuk campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian mengenai anak perempuannya yang berusia sembilan tahun itu, M Luganeshvari.

Manivanan memberitahu Malaysiakini isterinya, Paramaswari dilahirkan beragama Hindu sebelum memeluk Islam apabila kedua ibu bapanya berbuat demikian ketika dia berusia tiga tahun dan diberi nama Siti Fatimah Paramaswari.

"Namun, beliau bertindak keluar dari rumahnya ketika berusia 18 tahun dan berkahwin dengan saya. Dia juga telah membuat permohonan di Mahkamah Syariah Shah Alam agar status agama Islam beliau dibatalkan.

"Yang menjadi isu sekarang ialah tindakan JPN (Jabatan Perdaftaran Negara) cuba mengiktiraf anak sebagai beragama Islam," katanya.

Sijil kelahiran anak

Menurut Manivanan namanya tidak dimasukkan dalam sijil kelahiran anaknya sebagai bapa.

"Ketika, kami mendaftar kelahiran anak saya, kami memberitahu pegawai JPN bahawa isteri saya telah membuat permohonan untuk kembali ke agama Hindu. Maka, pegawai tersebut mendaftar anak saya sebagai Hindu. Tetapi, ketika sijil kelahiran dikeluarkan anak saya diiktiraf sebagai Islam.

"Nama saya tidak dimasukkan dalam sijil kelahiran. Dan ditulis sebagai 'maklumat tidak diperolehi' dikolum Nama Bapa," katanya lagi.

Manivanan memaklumkan telah berkahwin dengan isterinya menurut adat Hindu dan mereka memiliki surat akuan perkahwinan dikeluarkan oleh pesuruhjaya sumpah. 

Jelasnya, kerana pertikaian mengenai sijil kelahiran Luganeshvari, sekolah-sekolah Tamil enggan mendaftarkan anaknya dan Manivanan mendaftar masuk anaknya ke sekolah kebangsaan, di mana anak perempuannya didakwa belajar Pendidikan Islam.

"Sejak lahir, anak saya tidak mempelajari amalan Islam. Kami hormati agama Islam. Saya ada banyak kawan-kawan Islam. Tetapi, ini adalah hak saya untuk memilih agama saya seperti yang ada di Perlembagaan Persekutuan.

"Lagi pun, isteri saya sudahpun membuat permohonan untuk kembali ke agama Hindu. Jadi, saya rayu KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) agar membantu kami dalam isu ini. Saya rayu agar anak saya tidak dipaksa belajar Islam sehingga kes isteri saya selesai," kata Manivanan.

Cari sekolah lain

Menurutnya lagi, ketika merayu mengenai mata pelajaran yang perlu diikuti anak perempuannya itu, pihak sekolah berkata jika anak perempuannya tidak mahu ikut maka dia "perlu mencari sekolah lain."

Manivanan berkata JPN di Putrajaya Luganeshvari didaftarkan sebagai beragama Islam, berdasarkan agama ibunya.

"JPN (perlu) menjelaskan kenapa nama saya tercicir sedangkan saya mempunyai surat akuan perkahwinan.

"Mereka sepatutnya, menunggu sehingga kes isteri saya selesai. Bukannya, tergesa-gesa mengambil keputusan sendiri," kata Manivanan

Dia juga berkata telah membuat laporan polis mengenai JPN yang didakwa memasukkan maklumat palsu ke dalam sijil kelahiran anaknya tanpa kelulusan.

Ketika dihubungi, Menteri Pendidikan Maszlee Malik memberikan jaminan untuk meneliti perkara ini lebih lanjut lagi.

"Saya mengambil maklum isu ini dan akan mendapatkan pegawai kementerian untuk memeriksa kes ini dengan segera," katanya.

Nota editor: Berita ini sudah dikemas kini. Versi asal memetik Manivanan berkata anaknya diugut untuk dibuang sekolah serta menyebut sijil perkahwinan sah yang diperakui pesuruhjaya sumpah.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.