Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Equanimity tidak akan dijual di bawah harga AS$100 juta
Diterbitkan:  Feb 5, 2019 1:32 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Susulan kegagalan lelongan The Equanimity baru-baru ini, Sitpah Selvartna berkata kapal layar mewah itu tetap tidak akan dijual di bawah harga AS$100 juta.

Menurut Sitpah yang menjadi perunding di firma guaman Tommy Thomas dan penasihat transaksi tersebut, sesetengah pembida bersikap oportunis dengan harga mereka.

"Pada masa sekarang, mandat yang diterima ialah tidak berunding untuk harga di bawah AS$100 juta. Ia bukan jualan murah. Anda akan dapat berdasarkan nilainya," katanya seperti dilapor Bloomberg.

The Equanimity yang dirampas Februrari tahun lepas di pesisir pantai Bali oleh pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Penyiasatan Federal Amerika Syarikat itu, merupakan antara aset terbesar dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kapal sepanjang 300 kaki itu dilengkapi dengan gymnasium, kolam renang, galeri, salon kecantikan dan landasan helikopter.

Firma broker Burgess, yang menguruskan penjualan itu berkata, setakat ini firmanya sedang berunding dengan kira-kira 20 pihak yang berminat dengan kapal layar mewah itu.

Menurut ketua broker bagi kapal tersebut, Rupert Nelson, 20 pembeli yang berminat itu dari Timur Tengah, Rusia dan beberapa negara Asia, di mana sesetengah daripada mereka merupakan nama besar dalam perkapalan.

Sebelum ini, Burgess menjelaskan harga panduan kapal tersebut pada AS$130 juta (RM532 juta) itu "sangat berpatutan," dengan mengambil kira "kualiti" kapal layar berkenaan.

Putrajaya terpaksa menanggung kos penyelenggaraan The Equanimity pada kos AS$500,000 sebulan.

Pada 2 Februari lalu, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mempertikaikan kegagalan lelongan kapal tersebut, yang didakwa miliknya selepas tawaran bidaan yang diterima dikatakan berada di bawah nilai sebenarnya.


Lihat Komen
ADS