Cara terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama adalah dengan lebih saling memahami budaya masing-masing, kata pemangku presiden Umno Mohamad Hasan.
Tidak seperti masa lalu, kata Mohamad, mutakhir ini sikap syak wasangka antara kaum tampak kian meningkat yang menurutnya disebabkan kurang pemahaman terhadap budaya lain.
"Rakyat mesti sedar kita sudah lama hidup bersama. Kita perlu pupuk semangat perpaduan (terutama) di kalangan anak-anak kita, dedahkan dengan budaya rakan masing-masing.
"Apabila kita faham (budaya) lain, tak akan ada syak wasangka. Kadang-kadang kita ada perasaan itu kerana kita tidak faham," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur hari ini.
Menggesa semau rakyat menyertai masyarakat Cina dalam sambutan hari ini, Mohamad berkata beliau sendiri sudah biasa dengan tradisi masyarakat itu kerana membesar di kampung baru Cina.
"Saya faham (budaya mereka), tak kekok pun. Tetapi kebelakangan ini sistem kita terlampau berpuak-puak, sekolah pun tak nak campur (antara kaum), perasaan syak wasangka itu amat tinggi.
"Perbezaan (dan kepelbagaian kaum) satu kekuatan, jangan jadikannya kelemahan. Hari ini saya nasihatkan kepada kaum Melayu, India dan lain-lain, mari kita sama-sama raikan sahabat Tiong Hua yang menyambut Tahun Baru Cina," katanya lagi.
Selaku tuan rumah, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata acara tahunan itu menunjukkan kesatuan di kalangan parti komponen BN dan mencerminkan perkara sama di negara ini.
Turut hadir ialah Presiden MIC SA Vigneswaran dan Presiden Gerakan Dominic Lau.
