Malaysiakini BERITA

Marzuki akan tunjuk bukti ijazah dari Cambridge

Bernama

Diterbitkan

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan seorang individu bahawa beliau menipu rakyat dengan menyatakan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Cambridge.

Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan bukti bahawa beliau pernah mengikuti kursus dalam bidang itu di universiti berkenaan.

"Bagi saya ini adalah satu daripada permainan politik. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini dan kita serahkan kepada polis, yang pentingnya saya menjalankan tugas saya dengan baik tanpa ada sebarang masalah. Yang penting bagi kita ialah keutamaan untuk tugas, tanggungjawab dan negara kita.

"Insya-Allah saya akan kemukakan bukti, tapi bukan saya nak melaporkan kepada dia. Saya akan buktikan, tidak ada masalah," katanya ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, dekat George Town hari ini.

Semalam, aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon itu memuat naik status berkenaan pada 3 Feb lepas.

Marzuki yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang turut menyifatkan dakwaan itu sebagai satu lumrah biasa dalam perjalanan politiknya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit, Marzuki berkata: "Kalau perkara ini berlarutan, kita akan cari jalan penyelesaian yang terbaik.”

- Bernama