Dalam menyeru umat Islam menjaga hubungan dengan masyarakat Cina, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini berkongsi kisah datuknya yang mempunyai ramai anak angkat dari kalangan masyarakat Tionghua itu.
Malah Abdul Hadi berkata, beliau sendiri mempunyai menantu berbangsa Cina yang beragama Islam.
“Datuk saya banyak anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam atau pun tidak dan menjadi sebahagian daripada keluarga saya.
“Yang saya anggap sebagai bapa saudara dan mereka juga menganggap saya sebagai anak.
“Begitu juga ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur. Datuk pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, yang kemuka itu beliau penghulu disana. Ia menunjukkan hubungan kami dengan masyarakat Cina bukan baru.
“Yang mutakhir pula, kebetulan seorang menantu saya adalah kaum Cina dan apabila tiba tahun baru, dia buat majlis dan saya hadir jamuan itu meraikan menantu ini,” katanya.
Abdul Hadi berkongsi kisah keluarganya itu menerusi video khas sempena perayaan Tahun Baru Cina di laman Facebooknya, hari ini.
Dalam video berdurasi lebih empat minit itu, Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini untuk terus menjaga hubungan kemanusiaan dan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, termasuk dengan masyarakat Tionghua.
Abdul Hadi berkata, masyarakat yang bertamadun perlu mengambil manfaat daripada kewujudan pelbagai kaum untuk tolong menolong dalam perkara kebaikan dan menentang perkara yang membawa keburukan.
“Mesti jaga hubungan antara satu sama lain. Dengan sebab itu konsep kebebasan beragama ini diizinkan kepada mereka (bukan Islam), dalam keluarga mereka dan tidak bocor sehingga menyentuh sensitiviti antara satu sama lain.
“Ini adalah tanggungjawab bersama yang wajib bagi orang Islam melaksanakan dan menghormatinya dengan sempadan yang jelas serta menjaga hubungan kemanusiaan dalam kepelbagaian,” katanya.
