Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembalakan di kawasan Orang Asli Tasik Cunex dihenti sementara - Timb menteri

Aktiviti pembalakan berhampiran penempatan Orang Asli di Tasik Cunex di Gerik, Perak dihentikan sementara perbincangan diadakan dengan semua pihak yang terlibat, kata Timbalan Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, Mohamed Farid Md Rafik.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) meminta syarikat pembalakan menghentikan kegiatan mereka di sana sehingga perbincangan itu, yang bakal diterajui oleh menteri P Waythamoorthy, berlangsung pada minggu depan.

Ini susulan kejadian terkini mengenai Orang Asli di sana, yang dilaporkan berlaku pertikaian dengan kerajaan negeri Perak apabila mereka mendakwa pihak kerajaan menceroboh tanah adat mereka.

"Saya dapat mengesahkan Jakoa telah mengeambil tindakan dalam hal ini dan telah meminta menteri untuk bertemu dengan penduduk kampung dan syarikat balak itu pada minggu depan.

"Jakoa juga meminta semua kegiatan pembalakan di sana untuk dihentikan sementara waktu sehinggalah hal tersebut dibincangkan dengan penduduk Orang Asli," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Jakoa adalah sebuah agensi kerajaan persekutuan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan Orang Asli serta berada di bawah bidang kuasa menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

'Cuba menentang akan ditangani kekerasan'

Dilaporkan Orang Asli di Tasik Cunex telah membantah aktiviti pembalakan di kawasan mereka, dengan Tok Batin (ketua kampung) membuat laporan polis pada Jumaat lepas (1 Februari).

Mengulas lanjut, Farid berkata perbincangan antara semua pihak yang terlibat merupakan cara terbaik untuk mencari penyelesaian konkrit.

Beliau berkata salah satu isu yang menjadi teras kepada masalah ialah perkara tanah yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan Perak menjadi salah satu daripada beberapa negeri yang tidak mempunyai tanah adat yang diwartakan untuk Orang Asli.

"Perak memang tak ada tanah adat sebenarnya untuk Orang Asli tapi diberi kawasan rayau dan menurut mereka, sebenarnya mereka melakukan kegiatan membalak di sana (di kawasan rayau) bukan di kawasan Orang Asli, dan kemudian pembalakan itu merupakan pembalakan terpilih dan tak semua (pokok) dia orang tebang.

"Tapi pada saya benda ini yang terbaik adalah apabila perbincangan dapat dilakukan antara Orang Asli, pihak kerajaan negeri dan syarikat balak.

"Hanya selepas itu penyelesaian konkrit dapat kita capai kerana sekarang kita hanya membuat spekulasi dan hal ini memerlukan kita melihat sendiri kawasan berkenaan," katanya.

Farid berkata tarikh sebenar mesyuarat itu belum ditetapkan, tetapi mereka berharap dapat dilakukan dalam minggu depan.

Orang Asli di Tasik Cunex mendakwa kegiatan pembalakan dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan mereka. Apabila bantahan mereka dikatakan tidak pernah didengar, masyarakat itu kemudiannya membina sekatan.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh Tok Batin, beliau mendakwa pada 30 Januari, wakil-wakil syarikat pembalakan yang terlibat, serta Jabatan Perhutanan Perak, memberi amaran kepada penduduk kampung bahawa pembalakan akan berterusan dan mereka yang menentang akan ditangani dengan kekerasan.

Ini berlaku di tengah-tengah tindakan undang-undang kerajaan persekutuan Harapan untuk menyaman kerajaan Kelantan yang diketuai PAS atas kesalahan pelanggaran yang sama terhadap Orang Asli di Gua Musang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS