Paling Popular
Terkini

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan kembali memimpin parti itu selepas peristiwa besar berlaku dalam negara tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apakah peristiwa besar yang dimaksudkannya itu.

"Saya bercuti sehingga tempoh dimana saya perlu menghabiskan cuti saya kerana mengikut 'kasyaf' para ulama ada menyebutkan akan berlaku peristiwa besar dalam negara.

"Bila berlaku perkara besar itu, saya akan kembali untuk memimpin Umno, insya-Allah," katanya dalam satu forum bertajuk Kerjasama Umno dan PAS Sejauh Mana? di Dewam Utama Kompleks Umno Bagan Datuk, malam tadi.

Program itu menampilkan Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk dan Yang Dipertua PAS kawasan itu, Misbahul Munir Masduki selaku ahli panel.

Ia program pertama Ahmad Zahid di pentas politik secara rasmi selepas bekas timbalan perdana menteri itu mengambil keputusan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai presiden Umno.

Ahmad Zahid pada 18 Dis lalu mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.

Jelasnya, keputusan itu diambil bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden.

“Ini tentunya sesuai dengan semangat dalam perlembagaan Umno sendiri bahawa jika presiden tidak mendapat ‘hidayah’, maka kaedah terbaik (adalah) berikan kepercayaan pada timbalan presiden untuk jalankan tugas presiden,” kata Ahmad Zahid.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata terdapat "kemesraan" pada kerjasama antara parti itu dengan parti Islam PAS.

Katanya, jika beliau diberikan amanah sekali lagi untuk menyatukan dua parti terbesar itu, keikhlasan akan menjadi tunjang utama.

"Insya- Allah jika satu ketika nanti saya diberikan amanah semula menyatukan kedua-dua parti ini, keilkhlasan akan meliputi tujuan-tujuan politik," katanya.

Jelas Ahmad Zahid kerjasama Umno dan PAS harus diterjemahkan sebagai satu "tahaluf siyasi" dalam erti kata yang sebenarnya.

Ia selaras dengan kehendak ahli dan penyokong parti itu di peringkat akar umbi.

Lihat Komen
ADS