Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH tumpu isu Melayu-Islam, kos sara hidup di Semenyih

PRK SEMENYIH | Pakatan Harapan (PH) bakal memberi tumpuan terhadap isu berkaitan kos sara hidup serta menjelaskan sentimen Melayu-Islam yang dibawa pembangkang dalam PRK DUN Semenyih, Mac ini.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, jentera PRK PH juga bersedia untuk memberi penjelasan kepada pengundi berkenaan isu-isu lain yang dibangkitkan pembangkang.

"Pembangkang memutar belit isu Melayu-Islam seolah-olah PH tidak memperjuangkan hak Melayu. Ini salah. Kami akan ambil peluang untuk menjelaskannya secara terperinci.

"Jangan lupa, rakyat masih ingat masalah-masalah ketika pentadbiran lalu," katanya ketika sidang media di Semenyih, hari ini.

Katanya lagi, pembangkang juga cuba memberi gambaran DAP tidak menyokong parti komponen PH yang lain.

"Kita akan lawan dakwaan ini," katanya yang juga menteri dalam negeri.

Membangkitkan kebimbangan rakyat dalam isu kos sara hidup, Muhyiddin berkata kerajaan Selangor telah menggariskan beberapa program untuk menangani masalah itu, terutama di Semenyih.

Beliau turut membangkitkan beberapa lagi isu setempat, seperti banjir dan kesesakan di hospital.

"salah satu isu dihadapi penduduk di Semenyih adalah kesesakan di hospital Kajang dan klinik kerajaan. Kita mengambil kira perkara ini dan membawanya kepada kementerian kesihatan," katanya.

'Jangan terlalu selesa'

Muhyiddin mengigatkan Bersatu Semenyih agar tidak terlalu selesa dengan kemenangan ketika PRU lalu, apabila memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti hampir 9,000 undi.

"Kita tidak boleh ambil mudah kerana kita tak tahu strategi pembangkang. Adakah Umno dan PAS akan bekerjasama? Jika ya, kita perlu rangka strategi.

"Kerjasama antara Umno dan PAS berhasil di Cameron Highlands, tetapi keadaan di Semenyih berbeza. Bukan semua ahli PAS setuju dengan kerjasama itu," katanya lagi.

Beliau memaklumkan calon PH akan diumumkan pada 14 Februari, iaitu dua hari sebelum penamaan calon.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, daripada Bersatu, pada 11 Januari lalu.

Hari mengundi adalah pada 2 Mac, manakala pengundian awal pada 26 Februari.

 

Lihat Komen
ADS