Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguamcara pertahan kandungan e-mel yang tersebar
Diterbitkan:  Feb 10, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 3:54 PM

Peguamcara III, Mohamad Hanafiah Zakaria mempertahankan e-melnya berhubung arahan agar pendakwaan terhadap SRC International Sdn Bhd, 1MDB dan kes rasuah yang lain tidak dilewatkan.

Dalam satu kenyataan beliau melahirkan rasa terkejut apabila kandungan emel tersebut tersebar dan menjadi perbualan umum, sedangkan ia ditujukan kepada semua timbalan pendakwa raya (TPR) yang mengendalikan kes melibatkan kerajaan sebelum ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa JPN (Jabatan Peguam Negara) merupakan sebahagian daripada jentera kerajaan persekutuan dan dalam menjalankan peranan tersebut, kami menerima arahan daripada kerajaan.

"JPN akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan selagi ia sah dan tidak melanggar Perlembangaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang bertulis lain.

"Oleh itu, adalah merupakan tanggungjawab saya, selaku Peguam Cara Negara III, yang bertanggungjawab dalam hal pendakwaan, untuk memaklumkan kepada semua TPR yang terlibat berkenaan arahan kerajaan untuk memastikan kes-kes tersebut segera dijalankan selaras dengan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah, "katanya.

Mohamad Hanafiah berkata ini selaras dengan sub-seksyen 172B(4) Kanun Tatacara Jenayah yang mengkehendaki mana-mana perbicaraan mesti dimulakan tidak lewat dari 90 hari setelah tertuduh dituduh di mahkamah.

"Pada masa yang sama, Peguam Negara juga berpendapat bahawa kes-kes tersebut perlu disegerakan.

"Secara tidak langsung, e-mel saya adalah sebagai peringatan kepada semua TPR terlibat bahawa kes–kes tersebut hendaklah didengar mengikut tarikh yang telahditetapkan tanpa sebarang penangguhan.

"Dengan kata lain, TPR yang terlibat hendaklah bersiap sedia untuk menjalankan kes mengikut jadual yang telah ada," katanya.

 

Beliau menegaskan ia juga merupakan arahan kepada semua TPR yang terlibat bahawa mana-mana permohonan untuk penangguhan hendaklah dibantah dengan sekeras-kerasnya.

"Bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa keputusan muktamad berkaitan perjalanan sesuatu kes tersebut akan hanya ditentukan oleh hakim yang mendengar perbicaraan kes tersebut," katanya.

Semalam, pembangkang termasuk MCA mempersoalkan tindakan pejabat peguam negara susulan e-mel yang tersebar itu.

Kandungan e-mel  itu mengatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa pendakwaan kes-kes di atas perlu diteruskan mengikut jadual dan tidak boleh ditangguhkan atau ditunda.

Sementara itu, peguam jenayah Rafique Rashid Ali berkata memo dalaman tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai satu bentuk campur tangan.

Malah, katanya mahkamah berupaya membuat keputusan adil tepat pada masanya yang telah diremehkan sejak pentadbiran terdahulu.

Rafique berkata tidak ada unsur berat sebelah dalam isu itu kerana pihak pendakwaan mempunyai kesemua bukti yang relevan.

Sebaliknya, beliau memberi amaran bahawa kebocoran e-mel itu sendiri lebih membimbangkan.

"Adakah ada simpatisan dalam Jabatan Peguam Negara?" soalnya.

Lihat Komen
ADS