Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
3 syarat import produk ganja perubatan - Timb menteri
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 9:00 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport tetapi perlu mematuhi tiga syarat yang dikenakan kerajaan dan syarikat yang berbuat demikian perlu mendaftarkannya dengan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dipetik FMT berkata antara aspek yang diteliti kerajaan sebelum mengesahkan sesuatu produk sebagai ubat adalah "selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas."

“Walaupun ganja diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya tetapi ada dadah berbahaya seperti morfin yang digunakan sebagai ubat, namun digunakan dengan formulasi dan kuantiti tertentu.

“Jadi, sekiranya hendak import ubat perlu berdaftar di bahagian farmasi Kementerian Kesihatan. Kalau sudah berdaftar dan melepasi syarat dikenakan maka ia boleh digunakan mengikut syarat-syarat ditetapkan,” katanya, lapor FMT.

Semalam, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah dilaporkan media berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran menteri kesihatan.

Menurut Zulkifli, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.

“Jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan di dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata Zulkifli.

Kes 'doktor ganja'

Perbincangan mengenai ganja perubatan menjadi perbahasan umum selepas beberapa perbicaraan kes di mahkamah. Misalnya, kes pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullahyang sedang berhadapan dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraannya kini dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Satu lagi kes yang menjadi tumpuan ialah kes yang melibatkan Muhammad Lukman Mohamad yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu.

Lukman, 29, ditahan pada Disember 2015 kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC atau bahan aktif dalam ganja).

Peguamnya Farhan Maaruf dilaporkan berkata Lukman tidak berniat untuk mengedar dadah, tetapi hanya mahu membantu pesakit yang dapat dirawat dengan THC.

Petisyen dalam talian di change.org yang menggesa pembebasan Lukman setakat berita ini ditulis mendapat 70,568 tandatangan.

Berhubung kes Lukman, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 18 September 2018 berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes tersebut.

Pandangan Mahathir itu senada dengan bekas naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang menulis rayuan kepada Peguam Negara Thommy Thomas bagi mendapatkan pengampunan berdasarkan merit kes itu.

Nurul berhujah, ganja semakin diterima di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya dalam rawatan pelbagai penyakit kronik.

Lihat Komen
ADS