Malaysiakini BERITA

Setelah 8 bulan, polis belum sahkan barang kemas syarikat Lubnan

Hafiz Yatim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Setelah lapan bulan berlalu sejak siri serbuan kondominium Mei lalu, polis nampaknya masih sukar mengesahkan status 44 bentuk barang kemas bernilai AS$14.79 juta (RM60 juta) didakwa milik tukang emas Lubnan, Global Royalty Trading SAL Ltd.

Rampasan itu mendapat perhatian awam selepas syarikat itu didedahkan menghantarnya kepada isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Ia antara pelbagai barang kemas dan berharga yang dirampas pihak berkuasa ketika serbuan di tiga kediaman berkaitan Najib.

Perkara ini dinyatakan kepada pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin ketika pengurusan kes bagi saman yang difailkan Global Royalty terhadap Rosmah agar memulangkan barang kemas itu.

Susulan pendedahan di mahkamah hari ini, peguam Rosmah, Rajivan Nambiar memberitahu pemberita bahawa beliau akan memfailkan permohonan penangguhan terhadap prosiding yang dijadual bulan depan sehingga tempoh sitaan tamat.

Tempoh tamat adalah 12 bulan selepas arahan pembekuan dibuat, mengikut Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Wong juga mengarahkan polis - yang disenaraikan sebagai pencelah dalam saman tukang emas Lubnan itu - untuk memfailkan pembelaan sebelum 25 Februari.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama untuk pendengaran permohonan penangguhan Rosmah.

Global Royalty Trading diwakili peguam David Gurupatham, manakala polis diwakili peguam persekutuan Shaiful Nizam Shahrin.

'Pelanggan tetap'

Julau lalu, Global Royalty dilaporkan menyaman Rosmah sebanyak RM60 juta berhubung kehilangan barang kemas yang dihantar pada Februari 2018.

Dalam kenyataan tuntutannya, ia menyenaraikan Rosmah sebagai pelanggan tetap mereka.

Barang kemas tersebut termasuk rantai, subang, cincin dan tiara, dan Rosmah dikatakan memaklumkan telah menerimanya.

Global Royalty mendakwa seperti tahun-tahun sebelumnya, pihaknya akan menghantar barang kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

Barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan, katanya.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah ada kala meminjam barang kemas dan beliau atau agennya akan menerimanya di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Peguam Rosmah menegaskan anak guamnya tidak membeli mana-mana barang kemas itu.

Polis sebelum ini berkata barangan yang dirampas dalam serbuan itu bernilai RM686 juta, antaranya merangkumi 2,200 bentuk cincin, 1,400 utas rantai dan lebih 500 beg tangan.