Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran tidak bersetuju dengan kenyataan polis terhadap kes melibatkan 2,000 pekerja Nepal mogok selama tiga hari di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Sepang.
Menurut pihak polis mogok itu merupakan pertikaian isu buruh yang membabitkan majikan dan pekerja.
Pada Januari ini, 2,000 buruh Nepal melancarkan mogok yang berakhir iga hari kemudian selepas pihak pengurusan berjanji menyelesaikan bayaran gaji yang tertunggak.
"Sekiranya polis tidak boleh mengambil tindakan, kami akan lakukan kerana ia melibatkan perlindungan pekerja," kata Kulasegaran pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
Ketua Polis Sepang, Abdul Aziz Ali pada 29 Januari lalu mengesahkan para pekerja telah berpiket di luar kilang itu selama tiga hari.
"Ya, mereka mengadakan mogok, tetapi isu itu telah diselesaikan," kata Abdul Aziz kepada Malaysiakini.
Walau bagaimanapun, Abdul Aziz berkata tiada kenyataan direkodkan daripada majikan kerana kes ini tidak melibatkan unsur jenayah.
"Ini bukan kes jenayah. Ini adalah (pertikaian) antara pekerja dan majikan mereka.
"Apabila majikan mereka tidak membayar gaji mereka selama tiga bulan, mereka marah dan mengadakan mogok.
"Apabila masalah gaji diselesaikan, mogok berakhir," katanya.
Kulasegaran berkata syarikat yang dikenakan pertuduhan buruh paksa sebagai bentuk perhambaan moden akan dikenakan sekatan di Amerika Syarikat.
"Apa guna buat barang kalau negara lain di dunia tidak mahu membelinya?" Soal Kulasegaran.
