Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peneroka Gatco berhimpun depan pejabat MB Negeri Sembilan

Sekumpulan peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) Jempol, membuat demonstrasi di hadapan Wisma Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sejak pagi tadi.

Mereka bertegas tidak akan bersurai sehingga berjumpa dengan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Mengetuai peserta demo, R Vijayagandhi, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) cawangan Seremban mengesahkan bahawa peserta mengambil keputusan untuk bermalam di hadapan pejabat MB, sekiranya hasrat mereka tidak dipenuhi.

"Peneroka berkumpul di sini seawal 11 pagi dalam usaha berjumpa dengan MB.

“Namun, setiausaha sulit MB bernama Salahuddin memberitahu kami bahawa MB tiada di pejabat sedangkan kami telah pun memberi surat rasmi pada 4 Februari yang lalu.

"Sepatutnya, kami berjumpa dengan MB pada 27 Disember tahun lalu, tetapi perjumpaan tersebut dibatalkan selepas MB ke luar negara. Jadi, kami meminta MB jumpa kami hari ini.

“Tetapi, beliau enggan berjumpa dengan kami sebaliknya menghantar wakilnya," kata Vijayagandhi kepada Malaysiakini.

Peneroka Gatco berkumpul sambil membawa plakad bantahan mendakwa kerajaan negeri gagal menangani isu Gatco ini.

"Selepas menang Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) beberapa ahli exco datang berjumpa dengan peneroka.

“Mereka juga janji akan menyelesaikan isu ini sebelum Disember ini," kata Vijayagandhi lagi.

Tambahnya, peneroka bersedia bersurai jika pejabat MB sedia memberi surat rasmi mengenai temu janji baru dengan MB, seterusnya memberikan arahan henti kerja serta-merta berhubung penebangan pokok getah di tanah Gatco oleh sebuah syarikat swasta.

Untuk rekod, tanah yang terbabit dalam pertikaian itu, seluas kira-kira 4,700 ekar, telah dipajakkan kepada The Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) pada tahun 1977 oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC).

Gatco ditubuhkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang bagi tujuan skim pembangunan tanah untuk ahli-ahlinya.

Peneroka sekarang telah membayar RM7,600 sebagai deposit untuk menjelaskan plot tanah yang diperuntukkan sebagai sebahagian daripada skim pembangunan itu.

Bagaimanapun, skim ini akhirnya gagal dan tanah yang telah dicaj kepada dua institusi kewangan.

Walaupun Gatco telah dibubarkan, pelikuidasi tidak menjual tanah itu sehingga 2006, yang satu perjanjian jual beli telah dimeterai antara Gatco dan Thamarai Holdings Sdn Bhd.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS