Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MP Kota Tinggi berdepan 14 pertuduhan rasuah
Diterbitkan:  Feb 13, 2019 11:45 AM
Dikemaskini: 4:22 AM

Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dan berdepan dengan 14 pertuduhan menerima rasuah.

Minggu lalu, Ehsanuddin didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerima RM50,000 dan sebidang tanah sebagai rasuah daripada sebuah syarikat percetakan pada tahun 2013 dan 2014.

Ehsanuddi, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan memohon dibicarakan untuk kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai penjawat awam telah menerima bayaran ansuran kenderaan bernilai RM23,540.68 melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Taman Maluri, Jalan Mahkota di Kuala Lumpur antara 10 Februari 2014 hingga 9 November 2015.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau juga mencadangkan tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sekali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguamnya, R Thrichelvam, membantah cadangan itu atas alasan anak guamnya adalah seorang ahli perniagaan yang sering perlu berurusan di luar negara.

Hakim kemudian memutuskan teruduh diikat jamin dengan RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Ehsanuddin supaya melaporkan diri kepada SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Ehsanuddin pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Tinggi dari tahun 2013 hingga 2018.

Selain menjadi Pengarah Komunikasi bagi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di bawah Jabatan Perdana Menteri, beliau juga adalah pengarah Felda Investment Corporation (FIC) dan ahli lembaga Felda Global Ventures Holdings (FGV).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS