Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

NGO Alam Sekitar, Dana Bruno Manser (BMF) menggesa penggantungan sementara (moratorium) untuk aktiviti pembalakan bagi perladangan kelapa sawit yang dirancang di sekitar Taman Negara Mulu di Sarawak.

Sebuah syarikat Malaysia telah memulakan kerja penebangan hutan untuk ladang kelapa sawit seluas 4,400 hektar berhampiran Taman Negara Mulu.

Taman Negara, yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco, akan terjejas dengan perladangan kelapa sawit berhampiran kerana ia akan merosakkan jaringan hidupan liar antara taman negara dan hutan Brunei, tambahnya.

"Malaysia telah berjanji kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia akan menghentikan penebangan hutan untuk ladang kelapa sawit baru.

"Ini adalah satu kes yang jelas mengenai bencana alam sekitar. Kredibiliti pihak berkuasa Malaysia dan industri minyak sawit negara dipertaruhkan, "kata pengarah eksekutif BMF, Lukas Straumann dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru organisasi itu menyeru agar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak menghentikan aktiviti penebangan hutan.

NGO yang berpangkalan di Basel, Switzerland itu turut menyertakan surat yang dihantar oleh masyarakat Orang Asal Berawan dan Penan yang terjejas di kawasan tersebut kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, bagi membantah perladangan yang dirancang.

Surat itu ditandatangani oleh 268 penduduk Bateu Bungan, Long Terawan dan Kampung Melinau yang tidak dimaklumkan mengenai pembangunan ladang berkenaan.

"Kami sangat menentang perladangan ini kerana ia tidak akan baik untuk kami. Kami dengan baik meminta hak adat pribumi kami dihormati dan biarkan kami hidup dengan aman dan harmoni dengan hutan kami," kata mereka dalam surat berkenaan.

Post Borneo sebelum ini melaporkan bahawa satu salinan surat tersebut telah dihantar kepada Menteri Industri Utama Teresa Kok, serta Menteri Kerja Raya Baru Bian, yang berasal dari Sarawak.

Surat itu belum menerima respon daripada pihak berkuasa setakat ini.

 

Lihat Komen
ADS