Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tuntut butiran lawatan IGP yang ditaja syarikat judi didedah
Diterbitkan:  Feb 14, 2019 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

PAS menuntut butiran lawatan ketua polis negara dan rombongannya ke luar negara yang ditaja sebuah syarikat judi didedahkan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata perkara itu boleh menimbulkan konflik kepentingan dan menimbulkan tanggapan negatif wujud hubungan syarikat perjudian dan agensi penguatkuasaan jenayah.

“PAS mahu supaya butiran lawatan KPN dan pegawainya didedahkan kepada umum dan menuntut penjelasan berhubung perkara ini.

“Siapa pula yang memberikan arahan supaya syarikat perjudian Da Ma Cai menanggung kos lawatan tersebut?” kata Nasrudin

Semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan lawatan sambil belajar Mohamad Fuzi Harun dan 16 pegawai kanan polis ke Turki dibayar oleh Da Ma Cai.

Katanya, lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator - sebuah agensi Kementerian Kewangan yang mengawal semua perjudian lumba kuda di Malaysia.

Lim berkata Lembaga Totalisator mempunyai kuasa meluluskan tajaan tanpa perlu merujuk kelulusan Kementerian Kewangan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata lawatan untuk belajar kaedah membanteras perjudian atas talian dengan tajaan lembaga itu.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report pada 10 Februari lalu bahawa kemungkinan sejumlah RM312,441 telah dibelanjakan untuk penerbangan kelas perniagaan dan penginapan lima bintang.

Sementara itu, menggelarkannya “industri dosa”, Nasrudin berkata beberapa perkara baru, antaranya kenaikan lesen dan duti perjudian sekurang-kurangnya 30 peratus, seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019.

Begitu juga desakan anggota parlimen supaya cabutan khas nombor ramalan dihapuskan, katanya.

“Oleh sebab itu, PAS mahu isu ini dijelaskan kepada rakyat. 

“Tujuan lawatan KPN dan pegawainya adalah baik tetapi kaedah penajaan tersebut boleh menimbulkan konflik kepentingan.

“Tambahan pula, banyak polisi kerajaan berkaitan industri dosa yang akan dilaksanakan bermula pada tahun ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS