Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah: Saya tak suka politik, ia boleh jadi kotor
Diterbitkan:  Feb 14, 2019 2:36 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Isteri perdana menteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendedahkan beliau tidak menyukai politik dan menganggap bidang itu tidak sesuai dengan dirinya.

"Ia boleh jadi kotor," katanya.

"Saya tidak suka politik. Ia sesuatu yang di luar saya. Saya tahu anda boleh lakukan banyak perkara, anda boleh ada kuasa, anda boleh lakukan itu dan ini dalam politik. Saya tidak suka itu. Ia tidak semula jadi, "katanya.

Siti Hasmah berkongsi pandangan itu dalam temubual eksklusif dengan Malaysian Reserve.

Malah, isteri perdana juga mengakui beliau tidak suka menaiki helikopter.

"Saya benci helikopter. Ia ada rekod buruk dalam fikiran saya," katanya ketika pulang ke Cameron Highlands selepas menghantar Mahathir berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil bulan lalu.

Siti Hasmah, yang telah berkahwin dengan Mahathir selama 63 tahun, juga tidak menyembunyikan rasa kecewa apabila suaminya terpaksa menerajui semula negara selepas berbuat demikian selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

"Saya tidak membenarkannya kembali, mereka melarikan dia dari saya".

"Apabila saya tahu mengenainya (Mahathir dipilih semula sebagai PM), saya tanya kepadanya dan dia kata mereka telah melantiknya sebulat suara, empat parti, dan dia tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menerimanya. Dia merasa itu adalah tanggungjawabnya,"tambah beliau.

Siti Hasmah juga percaya Mahathir akan menyerahkan kepimpinan negara kepada penggantinya apabila sampai masanya.

"Dia selalu kata bila dia mengambil tugas sebagai PM ketujuh, itu hanya bersifat sementara.

"Hanya untuk lihat negara kembali ke landasan asal, dan apabila semuanya selesai, dia akan tinggalkan. Saya tidak fikir dia mahu menghabiskan penggal," katanya.

Dalam temu bual itu, Siti Hasmah juga mengulas mengenai kritikan terhadap Mahathir dan menyatakan kebimbangan bahawa suaminya mungkin memberikan respon tidak tepat terhadap isu-isu tertentu akibat masalah pendengaran.

Siti Hasmah merujuk kehadiran Mahathir dalam acara debat British, Oxford baru-baru ini.

"Suami saya tidak dapat mendengar apa yang mereka katakan. Soalan-soalan itu ditujukan kepadanya, dia tidak mendapat soalan dengan betul kerana pendengarannya, dan dia memberi mereka semua jawapan yang salah. Itu tidak bagus."

"Kalau saya dekat dengannya, saya akan memberi amaran kepada beliau, tetapi bukan tugas saya untuk melakukannya."

"Kadang-kadang, saya harap saya ada alat bantu dengar, dan dia pun ada satu. Saya boleh cakap, 'Tak, awak salah'. Saya selalu bimbang dia mungkin mengatakan perkara yang salah, "katanya.

Lihat Komen
ADS