Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peka gesa k'jaan kaji semula pembangunan di hutan simpan bakau
Diterbitkan:  Feb 14, 2019 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor mengkaji semula Forest City Golf Resort yang terletak di hutan simpan paya bakau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Peka, Sharifa Sabrina Syed Akil berkata siasatan mesti dilakukan sama ada tanah itu diperoleh secara sah dan mematuhi Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru dan Kulai 2025.

"Menurut rancangan tempatan, kawasan yang dipersoalkan ditetapkan sebagai kawasan hutan dan menurut undang-undang perancangan, sebarang perubahan kepada rancangan tempatan memerlukan pendengaran awam," kata Sharifa.

Aktivis alam sekitar itu berkata Sungai Pulai penting sebagai kawasan tanah lembap dan telah didokumentasikan dengan baik di peringkat antarabangsa dan di luar negara.

Sharifa merujuk kepada Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017-2021 yang telah menyatakan inisiatif khusus untuk memulihara dan menguruskan Sungai Pulai, termasuk usaha menjadikan kawasan itu sebagai sebahagian daripada Program Manusia dan Biosphere Unesco (MAB).

Dasar ini dibentuk ketika Mohammed Khaled Nordin merupakan menteri besar Johor.

Hutan simpan Sungai Pulai telah diwartakan pada tahun 1962. 

Pada tahun 2003, ia dikenal pasti sebagai tanah lembap berkepentingan antarabangsa dan diletakkan di dalam Senarai Ramsar. 

Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Ramsar.

Dalam satu laporan khas hari ini, Malaysiakini mendedahkan bahawa Forest City Golf Resort dibina di atas kawasan yang merupakan sebahagian daripada hutan simpan.

Kerajaan persekutuan dan negeri sekarang, kata Sharifa, perlu mengambil tindakan segera dan tegas untuk menjaga ekosistem Sungai Pulai dan menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia komited dengan Konvensyen Ramsar.

"Apabila fakta telah dipastikan, kami berharap pihak berkuasa akan bertindak tanpa rasa takut atau memihak dan memusnahkan sebarang struktur yang telah dibina di dalam hutan simpan yang melanggar undang-undang dan mengusir semua pihak yang tidak dibenarkan.

"Walaupun banyak kerosakan telah dilakukan, ia masih boleh dikurangkan dengan membatalkan kedua-dua padang golf yang masih belum dibina, dan dengan memaksa pemaju membayar pampasan bagi ekosistem berharga yang telah hilang," katanya.

Lihat Komen
ADS