Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'1,000 pengundi boikot PRK Semenyih jika tak selesai isu tanah'

PRK SEMENYIH | Pihak Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Semenyih mendakwa lebih 1,000 pengundi kawasan Semenyih bersedia memboikot pilihan raya kecil (PRK) sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak menyelesaikan pertikaian berhubung tanah sekolah berkenaan.

Bercakap bagi pihak sekolah, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Dr K Sivakumaran menyifatkan kerajaan Selangor sebagai berat sebelah dalam mengendalikan pertikaian tanah antara sekolah dan Sime Darby Property, sebuah syarikat pembangunan berkaitan kerajaan pusat (GLC).

"Dari dulu kami penyokong setia PH. Namun, kami rasa kecewa dengan sikap membisu kerajaan negeri yang masih tidak mampu menyelesaikan masalah tanah sekolah kami. Kami tidak ugut, tetapi ini sahaja pilihan kami," katanya.

Jelas Sivakumaran, sekolah tersebut ditubuhkan pada 1948 di atas tanah milik sebuah syarikat perladangan sebelum dijual kepada Sime Darby Property.

Bagaimanapun, katanya, pertikaian terjadi apabila pada 2010 pihak sekolah hanya diberi 3.8 ekar tanah berbanding yang ditetapkan garis panduan iaitu minimum enam ekar.

"Masalah pertikaian tanah bermula di sini, di mana mengikut Garis Panduan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Garis Panduan Perancang Dan Desa Semenanjung dan Garis Panduan Kementerian Pendidikkan Malaysia sebuah sekolah rendah perlu diberi tanah minimum enam ekar di bawah sebarang pembangunan.

"Jadi, kami bantah pemberian tanah ini kerana tidak mengikut garis panduan. Yang aneh, kerajaan negeri yang sepatutnya perlu memberi tekanan kepada GLC sebaliknya meminta pihak sekolah untuk menerima tanah 3.8 ekar sahaja.

"Persoalannya, kenapa kerajaan negeri begitu takut dengan GLC tersebut sehingga melanggar garis panduan ditulis sendiri?" katanya kepada Malaysiakini.

Sivakumaran memaklumkan bahawa tedapat 450 murid belajar di sekolah itu ketika ini.

"Jadi, kamu kira lah dengan sendiri berapa jumlah undi yang berada bersama pihak sekolah. Kalau, campur dengan bekas pelajar dan ibu bapa, lebih kurang seribu undi. Kini, terletak ditangan menteri besar," katanya sambil menggesa menteri besar Selangor campur tangan.

'Cari penyelesaian terbaik'

Sementara itu, ketika dihubungi, Sime Darby Property berkata pihaknya dalam proses mendapatkan semula sebidang tanah yang diduduki SRJKT Ladang Semenyih.

Dalam kenyataan media susulan, Sime Darby Property berkata, pertikaian tanah itu menjejaskan perancangan untuk membangunkan rumah kos rendah bagi bekas pekerja estet Ladang Semenyih.

"Pada asalnya, sekolah ini dibina atas tanah yang telah disumbangkan bagi tujuan menyediakan pendidikan kepada anak-anak para pekerja estet.

"Sime Darby Property pada awalnya menyediakan tanah berkeluasan 3.07 ekar kepada sekolah itu pada tahun 2013 dan ditambah menjadi 3.81 ekar pada tahun 2015 apabila diminta berbuat demikian.

"Perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat dan diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

"Walau bagaimanapun, (ketika ini) sekolah itu telah menduduki tanah seluas lima ekar," jelas syarikat itu.

Bagaimanapun, Sime Darby Property memberi jaminan akan terus berbincang dengan semua pihak terlibat bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Mengulas lanjut, Sivakumaran menolak tanggapan yang mengatakan pihak sekolah kalah dalam kes berkaitan tanah berkenaan di mahkamah.

Jelasnya, mahkamah hanya menolak permohonan mereka kerana memberi nama syarikat yang salah.

"Dalam keputusannya, mahkamah turut membenarkan kami untuk permohonan balik dengan nama syarikat yang betul," jelasnya.

Lihat Komen
ADS