Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Roger Ng rancang kembali ke AS, hadapi pertuduhan 1MDB
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 9:35 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

Roger Ng, bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc yang dituduh memainkan peranan dalam menipu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan kembali ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan jenayah terhadapnya, kata peguamnya pada Khamis.

Ng akan mengetepikan ekstradisi ke Amerika Syarikat pada Jumaat semasa tampil di mahkamah di Malaysia, menurut peguamnya, Marc Agnifilo.

Agnifilio berkata anak guamnya berhasrat untuk mengaku tidak bersalah apabila muncul di mahkamah persekutuan AS.

Ng, yang meninggalkan Goldman Sachs pada musim bunga tahun 2014, ditahan di Kuala Lumpur sejak 1 Nov, sejurus selepas Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengumumkan tuduhan terhadapnya kerana melakukan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB.

Tim Leissner, seorang lagi pegawai Goldman Sachs, dan jutawan Malaysia Low Taek Jho juga telah didakwa di AS atas dakwaan mencuri berbilion ringgit daripada 1MDB.

"Seperti yang telah kami katakan sepanjang masa, kami marah apabila ada kakitangan firma melakukan tindakan yang terperinci dalam dakwaan kerajaan," kata jurucakap Goldman Sachs ketika ditanya mengenai Ng.

Goldman Sachs sendiri sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana peranannya sebagai penjamin dan pengatur tiga jualan bon AS $ 6.5 bilion untuk 1MDB.

- Reuters

Lihat Komen
ADS