Peguam Lawyers For Liberty (LFL) menyokong gesaan hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat salah laku hakim.
Penasihat LFL, N Surendran berkata mereka juga mempunyai bukti campur tangan badan kehakiman oleh seorang hakim yang mereka percaya adalah individu sama yang dikenal pasti oleh Hamid sebagai 'ARLC'.
"(Kami telah) mengumpul pelbagai bukti campurtangan terhadap hakim mahkamah rendah dalam perkara-perkara sensitif politik.
"Ini termasuk kejadian di mana seorang hakim tertinggi mengganggu pendakwaan berprofil tinggi di Mahkamah Sesyen Shah Alam semasa pentadbiran BN.
"Kami percaya hakim tertinggi ini mungkin ARLC yang sama yang dirujuk oleh hakim Hamid Sultan. Kami bersedia menyediakan semua maklumat kepada RCI," kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam afidavitnya semalam, Hamid mendakwa hakim berkenaan campur tangan dalam keputusan majoriti yang pada awalnya membebaskan pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh daripada tuduhan di bawah Akta Hasutan.
Surendran berkata, identiti hakim itu mesti dikenalpasti oleh RCI dan didakwa mengikut undang-undang jika didapati bersalah.
Surendran berkata pendedahan Hamid adalah bukti campur tangan BN dalam badan kehakiman.
"Campur tangan itu memihak kepada kerajaan BN dan pemimpinnya, dan menjejaskan penentang BN dan kerajaan.
"Pendedahan ini tidak boleh dianggap ringan kerana ia datang dari hakim yang bersidang di mahkamah rayuan.
"Ia mesti diambil sebagai bukti kuat terhadap salah laku serius dan salah laku di peringkat tertinggi badan kehakiman kita, yang berdasarkan arahan rejim BN," katanya.
Hamid semalam berkata beliau akan mendedahkan lebih banyak bukti dalam RCI, tetapi melahirkan rasa kesal apabila Ketua Hakim Negara Richard Malanjum enggan berbuat demikian.
Afidavit itu difailkan sebagai sokongan kepada permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan bahawa ketua hakim negara gagal mempertahankan keutuhan dan kredibiliti badan kehakiman berhubung dua insiden dakwaan campur tangan kehakiman.
