Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dr Mahathir Muhamad pantang diugut. Dia siap untuk tukar ke parti lain kalau ada antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang “belot kepada negara”. Begitu katanya.

Walawei! Siapakah pembelot itu?

Dua minggu lepas, pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan lebih awal. Kata Kit Siang, DAP tidak teragak-agak untuk “meninggalkan gabungan kerajaan sekiranya objektif Malaysia baru dipinggirkan.”

Sekali lagi Walawei! Apa pula “objektif Malaysia baru”?

Bagi menampilkan objektif Malaysia baru dengan gambaran yang cantik dan suci, Kit Siang pun menetapkan negara ini sebagai “tidak menjadi demokrasi memalukan, kakistokrasi, negara gagal dan kleptokrasi global”.

Pergh! Gila babi susah untuk makcik-makcik Kampung Kerinchi hendak faham ayat deep begitu.

Kenyataan berkenaan terlalu umum dan takkan difahami walaupun oleh profesor mana pun, sekiranya tidak diletakkan pada konteks.

Konteksnya ialah, seperti yang disebutkan Kit Siang sendiri, DAP tidak mahu menjadi parti yang lembik macam MCA.

Oh! Kalau macam itu, sesiapa walau tak ada sijil SRP pun boleh faham bahawa DAP mahu menjadi “parti Cina” yang memperjuangkan sentimen kecinaan dengan lebih berkesan. 

Cakaplah terang-terang.

Lim Kit Siang

“Malaysia baru” di mata Kit Siang barangkali semacam kelahiran semula impian “Malaysian Malaysia.” Beliau sendiri menegas dan mengulanginya di dalam ucapan sidang terakhir dewan rakyat Mac tahun lalu, iaitu sebelum parlimen dibubarkan.

Dalam konsep yang diperjuangkan lebih 50 tahun, hal-hal berkaitan kepentingan dan identiti Melayu, Bumiputera serta Pribumi perlu dileburkan. Itulah “Malaysian Malaysia” yang ingin dijenamakan semula sebagai “Malaysia baru”.

Identiti Malaysia—yang turut terbina dari sistem pendidikan kebangsaan misalnya—perlu dirombak dan diubah agar ia menjurus kepada sebuah negara yang tidak terikat kepada mana-mana tradisi kaum asal. Semua budaya adalah sama darjat, walaupun ia berasal dari luar. Dalam kata mudah, “Malaysian baru” adalah sepertimana identiti Singapura hari ini: yang kabur tradisi asalnya.

Perkara ini samalah seperti orang Arab yang datang ke Paris mahu mengubah Perancis menjadi padang pasir, atau orang Afrika yang ke London mahu menjadikan Britain seperti gurun Sahara. Seberapa terbuka pun demokrasi Eropah, mereka tidak akan mengizinkan hal berkenaan terjadi.

Seperti menjawab ‘pantun’ Kit Siang

Impian berkenaan nampaknya berlebih-lebihan. Nenek-moyang kita yang mendirikan negara ini telah terlebih dahulu sedar bahawa perubahan sehingga mencabut akar tradisi asal masyarakat merupakan perubahan yang berbahaya kepada perpaduan negara. Itu bukanlah tujuan sebenar kemerdekaan mana-mana pun negara di Asia Tenggara. Termasuk Malaysia.

Pergeseran kaum bisa tercetus dan keharmonian sebagai aset paling berharga negara boleh hancur binasa sama sekali. Sekiranya impian itu diteruskan, saya risau kalau-kalau “13 Mei” sebenarnya ada di depan kita.

 Seperti menjawab ‘pantun’ Kit Siang, Mahathir dalam perutusan Tahun Baru Cina baru-baru ini pun menekankan peri pentingnya apa yang wujud sekarang tidak dirombak melulu hanya atas nama “Malaysia baru”. Kata Mahathir, ada pihak yang kini cuba mengeruhkan keharmonian bagi tujuan tertentu.

Sekali lagi walawei! Siapakah “pihak berkenaan yang mempunyai tujuan tertentu” itu? Macam jahat sahaja bunyinya. Jeng-jeng-jong…

Mungkin ramai yang melihat kenyataan Mahathir ditujukan kepada PAS dan Umno yang dikatakan sering memainkan sentimen perkauman. Tetapi rasanya tidak masuk akal kalau kenyataan Mahathir ditujukan kepada PAS atau Umno tetapi disampaikan dalam perutusan Tahun Baru Cina. PAS dan Umno bukan “parti Cina” bhai! Bukan!

Perutusan Gong Xi Fa Chai sudah tentu untuk sebuah “parti Cina”. Sekali lagi soalan barah otak, “parti Cina” yang mana?

Apakah MCA? Kalau MCA rasanya hanya menghabiskan beras sahaja, kerana MCA tidak lagi berkuasa. Memberi amaran kepada MCA samalah seperti memaki mayat di jerat perkuburan. Bukan sahaja sia-sia, tetapi akan jadi sejenis lawak seram. Lebih seram daripada kisah pendekar bujang lapuk yang bertapa di tepi perigi buta. Jeng-jeng-jong…

Kalau mengikut ilmu nujum politik, pihak tertentu itulah yang pada mula yang dimaksudkan Mahathir sebagai “pembelot negara”. Mahathir yang kita kenal mempunyai dua sifat. Pertama dia merupakan seorang nasionalis Melayu, dan sifatnya yang kedua seperti disebut di awal tulisan ini sebagai pantang diugut.

Pelajar sekolah Cina. Gambar hiasan.

Bagaimanakah Mahathir tidak rasa tercabar, misalnya ketika dana untuk sekolah swasta Cina boleh disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan tanpa melalui Kementerian Pendidikan?

Kementerian kewangan sekarang dipegang oleh anak Kit Siang, Lim Guan Eng dari DAP; dan kementerian pendidikan pula oleh Mazlee Malik dari Bersatu. Mahathir merupakan pengerusi Bersatu.

Sikit sebanyak Mahathir terasa juga bila orang partinya dilanggar menteri dari parti lain. Itu baru satu contoh, dan dalam masa sembilan bulan ini mungkin pelbagai lagi cerita belakang tabir termasuk yang melibatkan projek puluh atau ratusan juta yang tidak diketahui rakyat berlegar di belakang pintu. Hanya Dr Mahathir sahaja yang tahu.

Lagi tekan lagi lawan

Sepertimana seorang Mahathir yang kita kenal sewaktu menjadi PM keempat dahulu, dia lagi ditekan, lagi lawan. Telurnya tidak boleh dipegang sesiapa. Dia selalu ada buah pukulan rahsia.

Buah pukulan itu sekali dilepaskan semalam apabila Bersatu menerima tujuh orang lagi bekas ahli parlimen Umno. Orang mengkritik Mahathir, dengan menyatakan Bersatu “mengangkut sampah”.

Dalam congak politik demokrasi, tidak ada erti “sampah”. Apa yang ada adalah bilangan dan angka. Sampah di mata satu pihak, mungkin berharga di mata pihak yang lain.

Bersatu hanyalah sebuah parti kecil. Selepas pilihan raya, jumlah ahli parlimen Bersatu tidak sampai satu-pertiga daripada jumlah yang dimiliki DAP. Apabila diambil satu demi satu “sampah” Umno, kini angka kekuatan Bersatu menjadi 23 orang.

Mahathir dan tujuh anggota parlimen bebas yang sebelum itu bersama Umno.

Maknanya hari ini Bersatu merupakan parti ketiga terbesar selepas DAP yang ada 42 ahli parlimen. Apakah Bersatu berjaya memperkuatkan suara perwakilan Melayu melalui partinya? Tidak Siapa tahu.

Antara dua perbandingan itu, Bersatu masih kurang 19 orang berbanding keseluruhan perwakilan DAP. Walaupun masih kurang, namun Bersatu sudah melebihi jumlah ahli parlimen Pas seramai 18 orang.

Ingat ya, politik bukan soal sampah. Politik adalah soal angka. Tanpa angka yang cukup, Bersatu akan dituduh sebagai “kuda tunggangan”, terutama kuda tunggangan DAP. Umno menunggang PAS, atau PAS menunggang Umno tidak akan lebih memalukan berbanding Bersatu ditunggang.

Nah sekarang kita faham mengapa Bersatu terpaksa angkut ‘sampah’, dan mengapa pula tidak ada seorang pun pemimpin utama DAP yang muncul di majlis pengumuman calon Bersatu-PH bagi PRK Semenyih semalam.

Begitulah ramalan nujum Pak Belalang tentang perang di Semenyih adalah lebih sekadar perlawanan antara PH lawan BN. Seperti kata Sudin, “itu bukan orang pak cik, tapi mambang.”


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS