Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Nazmi lapor polis dakwaan campur tangan kes Himpunan Black 505

Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku hakim-hakim tertentu yang didedahkan dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Nik Nazmi berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi merujuk secara spesifik kes yang melibatkan dirinya di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung Himpunan Black 505, pada 2013.

“Saya rujuk kepada kes saya secara spesifik kerana ada dalam perenggan 86 ke-90 afidavit tersebut, Hamid memaklumkan tentang kes Himpunan Black 505 saya.

“Jadi, saya rujuk kepada perkara itu dan sekarang masuk akal apabila berkali-kali saya didakwa walaupun saya telah dibebaskan serta cubaan untuk menghalang pimpinan pembangkang (Pakatan Harapan) ketika itu untuk bertanding pilihan raya,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Nik Nazmi pada Disember 2016 mengaku bersalah kerana tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan Black 505 yang diadakan beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-13.

Timbalan pendakwa raya K Mangai ketika itu mahukan Nik Nazmi didenda RM5,000, iaitu jumlah denda yang jika dibenarkan mahkamah akan menyebabkan hilang kelayakan bertanding dalam PRU ke-14.

Bagaimanapun, pada 17 2018, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Mohtarudin Baki menolak rayuan pihak pendakwaan dan sebaliknya mengekalkan denda RM1,500 yang membolehkan Nik Nazmi bertanding.

Himpunan Black 505 pada 2013

14 Febuari lalu, Hamid mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung campur tangan hakim-hakim tertentu dalam beberapa kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang merupakan pembangkang ketika itu.

Dalam afidavitnya, Hamid turut menamakan seorang hakim tertinggi sebagai "ARLC".

"Akibat keterlaluan (dakwaan melanggar) keperlembagaan yang dikatakan, terdapat peluang untuk mendakwa ahli-ahli pembangkang yang penting yang mengakibatkan sesetengah daripada mereka tidak dapat bertanding dalam pilihan raya.

"Kesan bersih kes Nik Nazmi membuat ramai hakim Mahkamah Persekutuan tidak suka kepada saya yang masih berterusan," kata Hamid dalam afidavit itu.

Tubuh RCI serta-merta

Sementara itu, Nik Nazmi hari ini mengulangi gesaan agar pihak berkuasa menyiasat dakwaan Hamid.

Jelasnya, meskipun penubuhan RCI adalah atas keputusan kabinet, laporan polis yang dibuatnya adalah sebagai gesaan kepada pihak berkuasa agar mengambil serius dakwaan salah laku berkenaan.

"(Dakwaan salah laku) ini melibatkan sistem kehakiman kita yang paling teras. Maknanya, orang perlu ada keyakinan bahawa sistem kehakiman kita ini bebas serta tidak ada berlaku permainan politik sebegini.

“Tetapi kita lihat, prinsip-prinsip asas kebebasan kehakiman telah dirosakkan sekian lama seperti yang kita tahu, tapi ini adalah pendedahan yang amat mendalam oleh seorang hakim mahkamah rayuan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Mahathir bahawa kerajaan akan mengkaji terlebih dahulu penubuhan RCI terbabit, Nik Nazmi menegaskan tidak ada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian.

Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer

Sebaliknya, tegas Nik Nazmi, penubuhan RCI itu perlu dibuat serta merta kerana ia melibatkan kepercayaan orang awam kepada sistem kehakiman negara.

“Perkara (RCI) ini perlu dibuat serta-merta sebab sistem kehakiman ini ialah satu perkara...yang juga melibatkan kes-kes Dr Mahathir ketika beliau keluar daripada Umno ada disebut, yang mana cuba dihalang oleh kerajaan ketika itu.

“Jadi, bagi saya tak perlu (dikaji) dan ini bukan soal parti dan sebagainya tetapi soal keadilan. Bagi saya itu (RCI) adalah sangat penting untuk orang kembali yakin dan percaya kepada sistem kehakiman negara kita,” tambahnya.

Terdahulu Nik Nazmi tiba di IPD Dang Wangi sekitar 10.00 pagi dan keluar selepas hampir dua jam berada di balai tersebut.

Lihat Komen
ADS