Satu-satunya akhbar tulisan Jawi di negara ini yang bertapak sejak 67 tahun lalu Utusan Melayu Mingguan diberhentikan penerbitannya Ahad lalu.

Akhbar itu mula diterbitkan pada 29 Mei 1939 secara harian dengan nama Utusan Melayu dan penerbitannya dihentikan dengan alasan mengalami kerugian.

Berikutan itu, beberapa pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) melahirkan rasa kecewa mereka dengan pemberhentian penerbitan akhbar berkenaan.

Mereka mencadangkan supaya Kumpulan Utusan mencari jalan terbaik untuk mengekalkan penerbitan akhbar itu mungkin dalam bentuk sisipan atau secara tajaan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden (FKBM) UUM, Prof Madya Dr Che Su Mustaffa berkata, golongan belia dan pelajar di negara ini adalah golongan yang akan mengalami buta tulisan Jawi apabila penerbitan akhbar itu dihentikan.

Pensyarah wanita itu berharap pengurusan Kumpulan Utusan mencari jalan menghidupkan semula akhbar berkenaan, termasuk mendapatkan kerjasama penajaan badan-badan korporat.

Khazanah tulisan jawi

Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan UUM Dr Ahmad Bashir Abdul Aziz berharap penerbit akhbar itu memikirkan masa depan tulisan Jawi di sebalik soal keuntungan.

"Dalam konteks Islam sekalipun keuntungan harus dikecapi namun pembangunan rohani dan agama juga perlu dititikberatkan," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau sedih dengan pengunduran akhbar itu kerana khazanah tulisan Jawi yang gagal mendapat sokongan pengiklan akhhirnya terpaksa ditutup.

Pengarah Pusat Islam UUM Prof Madya Dr Shukri Ahmad berharap pengurusan Kumpulan Utusan dapat memikirkan cara terbaik menerbitkan semula akhbar tulisan Jawi dalam bentuk sisipan walaupun jumlah halamannya terhad.

"Penerbit harus memikirkan secara serius kerana pembangunan tulisan Jawi akan mencambahkan idea lebih pantas kerana ia lebih pantas ditulis dan mudah difahami," katanya.

Dalam keluaran terakhirnya Ahad lalu, akhbar itu berkata walaupun benar akhbar Jawi mempunyai tempat dalam sejarah bangsa dan negara namun masa sudah beredar jauh, suasana sudah berlainan kerana manusia berubah dan terus berubah dan citarasa mereka juga turut bertukar.