Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petisyen pilihan raya Sipitang, Kimanis dipulangkan pada mahkamah pilihan raya

Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan petisyen pilihan raya parlimen Sipitang yang difailkan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dibawa semula kepada Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu untuk dibicarakan.

Keputusan itu diputuskan lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Ahmad Maarof yang menerima rayuan tersebut dan mengarahkan ia dibicarakan di hadapan hakim lain.

Empat lagi hakim yang membuat keputusan itu adalah Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim, Hakim Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun serta Azhar Mohamed.

Mahkamah juga memutuskan sebutan semula kes tersebut pada 25 Febuari ini dan mengarahkan Ahli Parlimen Yamani Hafez Musa membawa kos sebanyak RM50,000.

Pada 16 Okt lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kerusi Parlimen Sipitang kekal milik Yamani.

Pada 18 Jun lalu, Warisan memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mencabar keputusan PRU14 di empat kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Empat kerusi Parlimen itu melibatkan kawasan Kimanis, Sipitang, Libaran dan Keningau.

Manakala bagi empat kerusi DUN pula melibatkan kawasan Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu.

Setiausaha Agung Warisan Loretto S Padua sebelum ini dilaporkan berkata bahawa petisyen itu dibuat kerana terdapat bukti berlakunya unsur penipuan pada PRU ke-14 di kawasan parlimen dan DUN berkenaan.

"Berdasarkan bukti yang ada, kami percaya ada unsur penipuan yang dilakukan di kawasan berkenaan termasuk kewujudan kotak undi pos, politik wang, dan melambat-lambatkan proses menandatangani borang 14," kata Loretto seperti dilaporkan Bernama.

Pada PRU ke-14, Yamani bertanding dan menang atas tiket BN.

Yamani mendapat 12,038 undi mengalahkan Noor Hayati Mustapha (Warisan) dan Dayang Aezzy Liman (Harapan Rakyat).

Beliau bagaimanapun kini sudah menyerahkan borang untuk menyertai Bersatu.

Arahan sama bagi Kimanis

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Persekutuan lain turut memberikan arahan sama terhadap petisyen bagi kerusi parlimen Kimanis.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah yang mengetuai panel lima hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Karim Bujang, calon Warisan bagi kerusi parlimen Kimanis untuk mencabar kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman.

Hakim Wong berkata panel hakim memutuskan Karim sebagai perayu telah mematuhi Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954 semasa memfailkan petisyen pilihan raya dan memerintahkan Anifah mambayar kos sebanyak RM50,000 kepada Karim.

“Kami membenarkan rayuan dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi (Mahkamah Pilihan Raya),” katanya dan menetapkan Rabu ini bagi sebutan kes berkenaan.

Beliau juga membenarkan permohonan peguam Frederick Chang Tyn Chi yang mewakili Karim supaya perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim baru.

Pada 19 Nov 2018, Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu menolak petisyen pilihan raya difailkan Karim yang mencabar kemenangan Anifah, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya selepas membenarkan permohonan bekas menteri luar itu untuk membatalkan petisyen berkenaan.

Panel terdiri Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Nallini Pathmanathan sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Ansari Abdullah dan Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Anifah serta Frederick Chang yang mewakili Karim.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi berbanding Karim (Warisan) dan Jaafar Ismail (Harapan) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Lihat Komen
ADS