Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SEMENYIH | Masuk hari keempat kempen pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, mula kedengaran rungutan parti terlibat mendakwa pihak lawan melanggar peraturan pilihan raya.

Kali ini, ia melibatkan sayur yang didakwa Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob telah diedarkan oleh jentera kempen Pakatan Harapan, semalam.

“Semalam saya di Kampung Kuala Pajam, kita dapat laporan pihak PH edarkan sayur kepada penduduk kampung tersebut.

“Ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pilhan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya kepada pemberita semasa program Ziarah Kasih Mesra Rumah ke Rumah di pusat daerah mengundi (PDM) Sesapan Kelubi.

Beliau turut menyamakan pemberian sayur itu dengan pemberian duit minyak yang dilakukan PH pada PRK Cameron Highlands.

"Kita dah minta ketua PDM untuk membuat laporan polis," tambahnya.

Susulan itu, Ismail menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pemantauan yang lebih rapi bagi memastikan tiada unsur yang menyalahi undang-undang dilakukan baik semasa kempen, hari mengundi mahupun ketika pengiraan undi.

Ismail turut menyambut baik arahan SPR agar tiada acara jamuan makan melibatkan penduduk sepanjang tempoh kempen diadakan.

Katanya, sejak hari penamaan calon lagi, BN telah memberikan taklimat kepada jentera kempen agar tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang pilihan raya.

“Setakat ini kita beri arahan tak ada makan-makan, kecuali jentera nak makan, tak apalah. Tapi jangan bagi makan kepada pengundi, itu tak boleh,” katanya lagi.

Ismail juga berharap SPR dapat melakukan tugas dengan baik bagi menjadikan PRK Semenyih sebagai pilihan raya contoh yang bersih dan adil kepada semua parti bertanding.

“Saya berterima kasih kepada SPR kerana menegur secara terbuka, tapi jangan lepas teguran itu, mereka (PH) tetap melakukan kesilapan. Bermakna mereka tak hormati SPR.

“Kita akur dan hormat SPR, saya harap PH juga lakukan perkara yang sama,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS