Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: RM500j rugi urus niaga tukar tanah Mindef
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Urus niaga tukar tanah (land swap) melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengakibatkan kerugian dan ketirisan lebih RM500 juta, kata menterinya Mohamad Sabu.

Beliau berkata perkara ini didedahkan dalam laporan penelitian khas Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Malaysiakini difahamkan terdapat 16 projek sebegitu sejak 1997 sehingga sekarang.

Menurut Mohamad, projek tukar tanah ini melibatkan 2,933 ekar Kementerian Pertahanan bernilai RM4.75 bilion, dengan kos projek sebanyak RM4.88 bilion.

"Jawatankuasa siasatan khas juga mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan sepanjang pelaksanaan projek land swap adalah melebihi RM500 juta.

"Kementerian dimaklumkan bahawa majoriti pelaksanaan projek land swap sebelum ini adalah tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan due diligence yang komprehensif.

"Terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi land swap tersebut yang bertujuan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

"Keadaan tersebut telah menyebabkan sebahagian projek telah melangkaui tempoh kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini. Malahan terdapat projek yang telah disiapkan tetapi kualiti pembinaan tidak memuaskan," katanya.

Mohamad telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pertahanan untuk membuat laporan kepada polis, SPRM dan pihak berkuasa berkaitan.

"Sehubungan itu, saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang," jelasnya.

Dari 1997 sehingga 5 Mei 2018 sudah enam pemimpin menjadi menteri pertahanan, iaitu Syed Hamid Albar, Najib Razak, Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein.

Lihat Komen
ADS