Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Karikatur hina Nabi: Jangan salah guna kebebasan media - Mujahid
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 9:20 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Kebebasan media di bawah agenda Malaysia Baru PH jangan disalah gunakan dengan sewenang-wenangnya, kata Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa.

Beliau mengulas penangkapan seorang lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW melalui hantaran Facebook di Mentakab, Pahang.

"Semoga kebebasan media yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan dibawah agenda Malaysia Baru tidak disalahguna sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu dan kita juga wajib menghormati agama Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang tertakluk di dalam Perlembagaan Malaysia dan begitu juga sebaliknya," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Mujahid juga mengucapkan penghargaan atas tindakan pantas pihak polis dan berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam menahan suspek menghina Nabi SAW menggunakan karikatur.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diatas kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempermudahkan operasi PDRM dalam menahan suspek yang telah menghina Nabi Muhammad saw melalui karikatur.

"Saya yakin dan percaya PDRM akan menjalankan siasatan dengan adil dan saksama tanpa mengira latar belakang.

"Pastikan suspek didakwa mengikut akta yang telah tersedia ada agar perkara ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada yang lain," jelas Mujahid lagi.

Diserah kepada polis Batu Pahat

Ketua Polis Pahang, Mohd Zakaria Ahmad memaklumkan lelaki berusia 68 tahun itu dicekup pasukan keselamatan di rumahnya di Mentakab, Pahang, pagi ini.

"Ya, polis telah menangkap seorang lelaki pagi ini di Mentakab.

"Dia ditahan bagi membantu siasatan susulan laporan polis di buat di Batu Pahat, Johor.

"Lelaki itu akan diserahkan kepada polis Batu Pahat untuk siasatan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Media sosial kecoh dengan kejadian itu sejak beberapa hari lalu selepas suatu hantaran Facebook yang ditanggapi sebagai menghina penganut Islam menjadi tular dengan tangkap layar hantaran itu dikongsi banyak kali.

Beberapa individu dan organisasi telah membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap hantaran berkenaan.

Lihat Komen
ADS