Nama seorang sukarelawan yang dipetik dalam laporan ini dipadam atas permintaan individu itu.
Seorang anak muda dengan kerja sepenuh masa, tetapi atas kesedaran mahu membantu golongan yang kurang bernasib baik menyebabkan beliau sanggup mengorbankan waktu sengkangnya untuk membuka kelas tuisyen percuma kepada golongan yang memerlukan.
Itulah yang dilakukan oleh Muhammad Khairul Azkar Mohd Halim yang merupakan pengasas dan koordinator Kelas Kaseh, iaitu kelas tuisyen percuma untuk anak-anak komuniti Orang Asli di Selangor sejak September 2015 dalam memastikan pendidikan golongan itu tidak terabai.
Khairul Azkar, 29, berkata kelas berkenaan yang dijalankan di Kampung Orang Asli, Sungai Buah di Dengkil dan Kampung Orang Asli, Kachau Dalam di Ulu Semenyih itu bertujuan membantu anak Orang Asli di dua perkampungan itu dalam menguasai kemahiran asas membaca dan mengira dengan baik.
“Sejak kematian ayah sewaktu kami lapan beradik masih bersekolah, kami dijaga oleh bapa saudara disebabkan kesusahan keluarga dan bermula daripada itu, saya tanamkan tekad untuk membantu golongan susah apabila dewasa kelak.
“Bermula daripada hanya 40 orang sukarelawan, kini kami sudah mempunyai lebih 2,000 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang antaranya pelajar, para graduan dan pekerja profesional,” katanya kepada Bernama, di Semenyih.
Menurutnya, kedua-dua kelas tersebut diadakan setiap hari Ahad selama dua jam selain mengamalkan konsep ‘one-to-one’ iaitu 'satu sukarelawan, satu pelajar’ bagi memastikan setiap pelajar mendapat perhatian maksimum.
“Kami mengajar subjek Matematik dan Bahasa Inggeris kepada anak-anak ini mengikut tahap kemahiran masing-masing dengan kaedah yang menyeronokkan agar mereka tidak cepat bosan.
“Alhamdulillah, setakat ini reaksi pelajar serta keluarga mereka begitu baik. Ada yang selepas habis kelas mengucapkan terima kasih dan memberi bunga kepada kami. Bagaimanalah kami tidak sayang kepada mereka?,” katanya.
Tambah Khairul Azkar lagi, kebanyakan daripada anak Orang Asli yang sudah berada di Darjah Enam tidak mahu menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu berikutan diskriminasi yang dihadapi mereka di sekolah terutamanya selalu dipinggirkan oleh rakan-rakan.
“Oleh sebab itu, setiap kali kelas kami akan sentiasa berikan semangat kepada mereka untuk teruskan persekolahan sehingga ke peringkat sekolah menengah kerana kami mahu mereka tahu bahawa pendidikanlah yang akan merubah nasib keluarga mereka,” ujarnya.
Penulis turut berpeluang mengikuti salah satu sesi Kelas Kaseh di Surau Nur Iman, Kampung Orang Asli Kachau Dalam yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Semenyih dan difahamkan kampung berkenaan didiami kira-kira 35 keluarga Orang Asli.
Menurut Khairul Azkar, kebanyakan mereka tidak keluar daripada kawasan penempatan masing-masing, melainkan hanya untuk ke sekolah sahaja.
Kesungguhan para sukarelawan ini yang begitu bersemangat mengajar anak-anak Orang Asli tersebut dengan penuh tekun dan sabar juga wajar dipuji malah kanak-kanak tersebut yang berusia dalam lingkungan tiga hingga 18 tahun itu juga menyambut sukarelawan yang dipanggil ‘cikgu’ itu dengan penuh ceria dan mereka dilihat memberi perhatian penuh serta bersemangat dalam menimba ilmu di dada.
Bahan-bahan bacaan dan mengajar serta alat tulis di kelas ini pula adalah sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan yang prihatin dengan nasib mereka.
Menurut salah seorang sukarelawan yang baru pertama kali menyertai Kelas Kaseh, beliau agak terkejut apabila mengetahui ada pelajar berusia 12 tahun masih tidak mengenal huruf dan tidak tahu membaca.
“Saya tahu mengenai kelas ini daripada kawan saya yang mempromosikannya melalui media sosial dan selepas merasai pengalaman mengikuti kelas ini, saya rasa ia satu program yang baik untuk mengisi masa lapang di samping memberi kepuasan kepada saya untuk mengajar anak-anak kurang bernasib baik ini,” katanya.
- Bernama
