Paling Popular
Terkini

Beberapa menteri tidak akan berani menampakkan muka di Semenyih. Walaupun nama mereka dikatakan “wanted”, tapi kalau mereka turun akan hanya mengurangkan undi kepada Pakatan Harapan (PH).

Antara yang boleh dikatakan berada dalam senarai itu ialah “menteri AES”, “menteri tiga meter” dan “menteri stoking”. Memang ada lagi beberapa menteri dan pemimpin utama PH dalam senarai yang sama, tetapi agak ke bawah sedikit kedudukannya. Kalau turun juga, masih tetap boleh menggugat sokongan.

Dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands sebelum ini, ada gelagat yang sempat mencuri perhatian dengan rakaman pemimpin PH kena halau dari kedai makan. Tidak cuma disuruh pergi, pengundi di situ menyindir agar tidak perlulah pemimpin PH memberi janji baharu lagi.

Kalau hendak juga, siapkan dulu surat hitam putih untuk sama-sama turunkan tandatangan. Baru boleh dipercayai.

Cemuhan kepada menteri PH bukan sahaja datang dari rakyat biasa secara berdepan muka—kerana saya yakin itulah keresahan pelbagai lapisan masyarakat yang boleh kita rasai setiap hari—tapi turut muncul dari tokoh seperti A Kadir Jasin, Dr Asri Zainal Abidin dan beberapa yang lain. Sesiapa pun yang masih mempunyai sedikit kepekaan pasti merasakan denyut nadi kekecewaan ramai orang terhadap kerajaan PH umumnya.

A Kadir Jasin, penasihat media perdana menteri

Bagaimana tidak kecewa, di kala negara dikatakan susah, pemimpin berbondong ke luar negeri. Di saat hutang bertompok, YB beli kereta lagi. Di waktu negara terumbang-ambing, pemimpin galak berebut kerusi.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Muhamad baru-baru ini juga membuat pengakuan, kalau kerajaan tidak komited dengan agenda perubahan dan tidak patuh kata-kata sendiri, maka rakyat siap untuk menggulingkan PH. BN yang dahulu sebesar gunung kuasanya pun boleh lebur, apalah sangat PH yang baru sebesar busut sahaja. Sebelum egonya menjadi bukit, elok ditarah terlebih dahulu.

Di Semenyih, peluang PH diukur 50-50. Ukuran itu tidak termasuk calon parti penumbuk dan pakcik kentang yang didalangi entah oleh siapa. Hanya dikira PH lawan BN sahaja.

Kalau pun PH dijangka masih boleh menang, jumlah majoriti diramalkan bawah seribu undi. Ukuran berkenaan sebenarnya sangat genting meski tiga PRK di Selangor sebelum ini sama ada di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, PH langsung tiada masalah untuk mengepak patah kepak BN.

Tapi itu dulu. Lima enam bulan dahulu. Hari berganti, mood berbeza. Lima enam bulan dalam politik adalah tempoh yang sangat lama.

Masa mengajar PH

Sekarang mood rakyat tidak lain adalah untuk memberi mesej bahawa mereka tidak senang dengan prestasi kerajaan. Senang cakap, mereka bersiap untuk mengajar PH pula. Kesedaran itu bukan cuma wujud di kalangan orang awam, tetapi dalam benak penyokong PH sendiri.

Peniaga semakin terseksa, petani dianak tiri, orang kampung hidup separuh mati, pemandu teksi patah kandar dan anak muda bergelimpangan tiada kerja disuruh niaga online semuanya.

Perasaan kemarahan berkenaan bukan sangat didorong oleh tagline “malu apa bossku”, tetapi oleh kelemahan pentadbiran PH di dalam mengurus dan memacu ekonomi. Najib Razak dikerat tujuh sekalipun, dia takkan boleh menjadi PM semula.

Najib Razak

Dan takkanlah tagline dari mat rempit yang digunakan oleh Najib boleh mengalahkan para menteri yang turun dengan kereta besar, berpengawal iringan dan bersepatu kilat? Tidak masuk akal dan tidak munasabah sama sekali ketika menteri berbicara untuk menjadikan Malaysia Harimau Asia, tapi di kampung-kampung mereka begitu mudah disailang oleh idea mat-mat rempit. Gila!

Sebagai seorang doktor, tentu PM Mahathir tahu, tempat yang ada penyakit perlu dikerat dan dibuang. Tempat berpenyakit itu kini adalah di kalangan menteri kabinetnya sendiri yang bukan sahaja tidak tahu apa fungsinya sebagai seorang menteri, tetapi membuat pula dasar atau program yang counter productive; yang buruk dan bukan-bukan serta yang disambung dari kerajaan lama BN.

Korek tanah untuk sekolah, beri cek sebesar papan lapis kepada masjid, turap jalan raya, pacak tiang elektrik atau pertandingan futsal tiga sebelah adalah cara lama membeli jiwa pengundi. Wayang politik begitu sudah diputar sejak tahun 80-an dan sudah membosankan. Lebih banyak bantuan turun dan lebih besar cek lebih membuatkan rakyat celik yang kerajaan PH selama ini tidak melakukan tugas dengan sempurna, khususnya di Semenyih.

Kita juga mendengar cadangan agar kerajaan menghapuskan satu tol sebelum PRK Semenyih. Cadangan berkenaan terlalu besar belanjanya, lebih-lebih lagi Putrajaya kini terbeban dengan hutang RM1 bilion, khabarnya.

Kabinet Mahathir

Bagi saya, sekali lagi, di mana punca penyakit, lebih baik dilakukan pembedahan segera. Bahagian yang sudah tidak berfungsi dengan baik, perlulah dibuang dan digantikan dengan yang lain.

Maksudnya, sebelum hari mengundi merupakan masa terbaik untuk PM melakukan rombakan kabinet. Lagi cepat, lagi bagus.

Mana-mana menteri yang dikatakan tidak prorakyat serta gagal memahami makna perubahan yang diperjuangkan dua dekad ini, sudah wajar diganti. Menggantikan menteri berkenaan modalnya jauh lebih murah daripada mengadakan jamuan makan, menutup tol atau menurap jalan kampung.

Apa yang mahu dilihat rakyat sekarang adalah PM Mahathir kembali menanamkan keyakinan kepada mereka. Lainlah kalau Mahathir memang sudah putuskan untuk menangguhkannya sampai PRK Rantau pula. Bukan sebab apa, kalah pun PH di Semenyih sebenarnya tidak akan menjadikan kerajaan Selangor tumbang.

Tidak juga menjadikan Putrajaya Tergoyang. Tambah tidak menokok, kalah tidak mengurang.

Kalau begitu, satu kerusi justeru tidak salah untuk dikorbankan. Bagi saya, kalau hendak pakai formula ganti menteri ini pun boleh. Tidak percaya pun tidak mengapa. Sekian dahulu.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS