Persatuan Perniagaan Jalan Masjid India (Miba) hari ini menegaskan cadangan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) bermula 15 Mac depan akan mengeruhkan lagi keadaan lalu-lintas di sekitar Kuala Lumpur.
Presidennya, Ameer Ali Mydin, ketika dihubungi berkata Miba bersama Persatuan Peruncit Batu Road (Barra) meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan cadangan berkenaan.
"Tindakan penutupan Jalan TAR akan mengakibatkan kesesakan trafik menjadi lebih parah, malah ia boleh sehingga ke Bukit Bintang.
"Hal ini kerana Jalan TAR merupakan pintu utama untuk ke Jalan Masjid India, selain ia menjadi salah satu jalan penting yang menghubungkan Chow Kit, Jalan Ampang, Dataran Merdeka dan Bukit Bintang," katanya.
Menurutnya, penutupan Jalan TAR tidak akan menyelesaikan masalah lalu-lintas sebaliknya akan bertambah buruk.
Katanya, parkir berlapis di kawasan Masjid India, Jalan TAR dan kawasan keliling merupakan punca utama kesesakan lalu lintas.
Justeru kata Ameer, kesesakan lalu-lintas boleh dikawal jika DBKL menangani isu parkir haram.
Pengunjung bazar unik
Tambah beliau, kemunculan gerai-gerai tidak berlesen dan menggunakan tapak parkir untuk berniaga juga perlu diberi perhatian segera.
Dalam pada itu, Ameer juga menyatakan bahawa kedua-dua persatuan turut membantah cadangan membina laluan siar kaki dan seterusnya mengadakan bazar Ramadan di Jalan TAR.
"Bukan kami memusuhi penjaja-penjaja tapi kami percaya cadangan membuat laluan siar kaki dan bazar Ramadan di Jalan TAR bukan tindakan yang bernas.

"Kami nak bazar Ramadan ini ditukar ke tapak lebih luas, selamat dan kurang kesesakan lalu-lintas kerana pengunjung bazar ini sangat unik.
"Mereka tetap ke bazar Ramadan walau diletakkan di mana-mana saja asalkan ia selesa dan menyediakan ruang parkir mencukupi, dan dekat dengan pengangkutan awam.
"Buat masa ini, penjaja-penjaja di kawasan Jalan Masjid India terpaksa menggunakan ruang yang kecil dan kurang bersih.
"Tindakan memasak di tepi jalan raya juga agak tidak selamat. Jadi, kami cadang tapak alternatif mahupun di dalam atau luar bandar," katanya.
Bagaimanapun, Miba dan Barra sedia menerima sebarang keputusan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.
"Kami berterima kasih kepada menteri yang turun ke Jalan Masjid India dan Jalan TAR untuk melihat sendiri keadaan di situ.
"Kami harap beliau akan mengambil keputusan yang terbaik bagi semua orang," kata Ameer lagi.
Untuk rekod, Khalid pada minggu lepas berkata penutupan Jalan TAR - kecuali untuk bas - sepanjang kira-kira satu kilometer itu ialah dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu.
Katanya ia dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan tersebut.
"Kerajaan berhasrat menjadikan laluan bermula dari hadapan Sogo sehingga ke Wisma Bandar sebagai laluan bebas kenderaan dengan pengunjung boleh berjalan untuk membeli-belah," kata Khalid.
