Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Saifuddin sahkan Majlis Presiden PH sokong Mahathir kekal PM
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) setakat ini berpegang dengan pendirian menyokong penuh Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri, kata Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah.

Mengulas spekulasi bahawa Mahathir akan berdepan usul undi tidak percaya daripada kalangan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang pada sidang Dewan Rakyat Mac ini, katanya ia hanya khabar angin.

“Sepanjang pengetahuan saya, Majlis Presiden PH kekal dengan pendirian Dr Mahathir sebagai perdana menteri serta menyokong penuh kepemimpinan beliau.

“Tidak timbul isu (undi tidak percaya) terhadap Dr Mahathir. Sepanjang pengetahuan saya, Majlis Presiden juga bersatu dan pendirian mereka mantap (Dr Mahathir sebagai perdana menteri).

“Kita (Majlis Presiden) tidak persoal kepemimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Itu (usul undi tidak percaya) itu hanya khabar angin,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Saifuddin juga menafikan wujud komplot itu walaupun PAS baru-baru ini membuat perjanjian bertulis dengan Mahathir tidak akan terbabit dalam gerakan undi tidak percaya itu dan sebaliknya akan menyokong kepemimpinan beliau sebagai perdana menteri.

Spekulasi kononnya akan berlaku undi tidak percaya terhadap Mahathir timbul selepas pertemuannya dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, minggu lalu.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir mendedahkan Hadi menanda tangani perjanjian yang PAS akan menyokong dirinya sebagai perdana menteri jika berlaku usaha menyingkirkannya melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sebelum ini mendakwa dua parti komponen PH mungkin merancang menyingkirkannya melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat yang akan bersidang mulai 11 Mac ini.

Walaupun Parlimen mungkin tidak mempunyai peruntukan bagi mengadakan proses itu, ia dianggap sebagai sebahagian amalan demokrasi.

Malah, Perkara 43 (4) Perlembagaan memperuntukkan, jika seseorang perdana menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada ahli parlimen, beliau perlu meletak jawatan.

Sementara itu, Saifuddin yang juga menteri luar berkata, beliau menyifatkan senarai nama ahli parlimen yang tersebar di media sosial dan akan menyokong usul undi tidak percaya itu sekadar spekulasi politik.

“Saya tidak tahu bagaimana boleh keluar senarai nama ahli parlimen (kononnya menyokong usul undi tidak percaya). Ini semua pada saya adalah spekulasi politik,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan Mahathir dengan Hadi dan pemimpin PAS minggu lalu, beliau berkata, PH tidak pernah menghalang mana-mana pemimpinnya untuk bertemu dengan sesiapa termasuk pemimpin pembangkang.

“Tun M adalah seorang ahli politik sangat berpengalaman. Kita dalam PH tidak pernah menutup pintu beliau hendak bertemu dengan sesiapa. Politik ini sifatnya sangat dinamik,” katanya yang dipetik oleh portal itu lagi.

Lihat Komen
ADS