Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Uncle Kentang: Tunggu dia mati baru SPR bagi saya derma?

PRK SEMENYIH l Calon bebas bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Kuan Chee Heng yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan bantuan kepada pengundi dalam kes-kes tertentu.

Bagi menjelaskan cadangannya, Kuan memberikan contoh pesakit jantung, Azman Ali yang dilawatinya.

“Macam dia (Azman), dia sudah dalam keadaan teruk. Adakah mahu bahayakan nyawanya? Saya sepatutnya boleh telefon sekarang minta bawa pam penyedut (suction pump) untuk bagi dia.

“Tapi saya tak boleh bagi. Saya ada duit, ada kawan-kawan yang boleh derma benda tu, tapi tak boleh derma sekarang. (Adakah hendak) biarkan sampai 3 hari bulan (Mac)? Mungkin dia mati sebelum itu?" katanya.

Kuan berkata demikian ketika melawat Azman di kuarters Klinik Kesihatan Beranang. Azman merupakan kakitangan kliniki tersebut dan sudah terlantar selama empat bulan.

Kuan yang berbaju-T biru dengan gambar kentang di dada, datang melawat Azman bersama ambulans.

Pembantu perubatan dilihat memeriksa tahap keadaan kesihatan Azman yang terlantar di kerusi malas.

Bagi tujuan membantu kes seperti Azman, Kuan mencadangkan agar SPR boleh menyediakan borang bagi membenarkan bantuan khas berdasarkan kes demi kes.

“Kita isi borang itu untuk bagi bantuan segera, letak berapa puluh ribu peruntukan (untuk bantuan seumpama itu).

“Jika ada borang itu, sekurang-kurangnya apabila kita memberi bantuan, ia sah (di sisi undang-undang), bukan memancing undi,” katanya lagi.

'Tak kisah hilang kelayakan'

Sebelum itu, Kuan dilihat melawat klinik kesihatan itu dan memberikan kad nama yang tertera nama dan nombor telefonnya kepada pesakit dan pekerja klinik tersebut.

Katanya, sekiranya membantu rakyat dalam kesusahan itu satu kesalahan, dia tidak kisah sekiranya dilucutkan kelayakan bertanding dalam PRK berkenaan.

“Jika lihat orang susah, menangis, tiada duit, anda mahu kata saya tak boleh bantu hanya kerana saya mahu jadi wakil rakyat?”

“Lupakanlah. (Jika macam itu) saya tak mahu jadi YB. tak mengapalah. Saya tak kisah mereka lucutkan kelayakan (bertanding) saya,” jelasnya lagi.

Katanya, gimik politik hanya bertahan selama dua minggu (sebelum PRK), sedangkan khidmat membantu rakyat adalah sepanjang hayat.

“Untuk menangi hati rakyat, bukan hanya pada hari berkempen dan mengundi. Saya tak berkempen, saya dah menangi hati rakyat lama dulu.

“Kita ni berkempen sepanjang hayat, bukan berkempen hanya untuk PRK,” katanya lagi.

"Kita akan bagi pam penyedut selepas pilihan raya. Tadi kita sudah buat sedutan kahak.

"Yang penting, lepas pilihan raya. Kita akan cuba carikan pam untuk dia, kita cuba ikhtiarkan," katanya.

Untuk rekod, Kuan yang mempunyai lebih 40,000 pengikut di Facebook sering tular di media sosial sebelum ini susulan tindakannya memberi bantuan secara terus kepada golongan miskin dan memerlukan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun sebelum ini mengingatkan agar setiap calon tidak melanggar pereaturan pilihan raya seperti mengadakan jamuan atau pemberian hadiah dan barangan.

Sementara itu, ketika dihubungi, Kuan berkata dia tetap akan berusaha mendapatkan pam penyedut untuk Azman selepas PRK.


 

Lihat Komen
ADS