PM: RMK-9 bukan alasan lengahkan projek
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu agensi pelaksanaan menggunakan penantian pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai alasan untuk melengahkan pelaksanaan projek kerajaan terutamanya yang berkaitan RMK-8.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu agensi pelaksanaan menggunakan penantian pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai alasan untuk melengahkan pelaksanaan projek kerajaan terutamanya yang berkaitan RMK-8.
Perdana Menteri berkata segala projek RMK-8 yang telah diluluskan perlu diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan oleh agensi terbabit.
"Kita tak mahu nanti apabila kita nak lancarkan rancangan dan projek di bawah RMK-9, kita terpaksa menggunakan masa yang terlalu banyak untuk menyelesaikan RMK-8," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah dijangka membentangkan RMK-9 yang mengatur hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2006-2010 di Parlimen pada 31 Mac ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan apa yang terkandung dalam RMK-8 sebagai penting, dan usaha menyiapkan mana-mana projek yang belum selesai tidak boleh dilengahkan lagi.
Sambil berkata beliau tidak mahu melihat mana-mana projek RMK-8 tergendala, Abdullah menegaskan bahawa adalah penting bagi agensi-agensi pusat seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan di JPM memastikan ini tidak berlaku.
Ucapan beliau itu turut menyentuh usaha berterusan pentadbirannya ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam hal ini, Abdullah mahu kementerian dan agensi kerajaan sentiasa mengkaji semula dan memperkemas prosedur kerja masing-masing dengan mengambil kira keperluan dan perkembangan semasa.
Kaji prosidur
"Apabila didapati mana-mana bahagian dan seksyen yang perlu dibaiki, maka ia perlu dibawa untuk dikaji dan prosedur baru hendaklah diluluskan dengan cepat," katanya.
Beliau memberikan contoh bagaimana prosedur di waktu kecemasan ketika berdepan dengan bencana alam boleh dikaji semula oleh pihak terbabit.
Abdullah berkata: "Bagi Bahagian Keselamatan Negara misalnya, apabila tak begitu sibuk melaksanakan tugas yang ada hubung kait dengan membantu mangsa bencana alam, masa itu elok digunakan untuk mengkaji semula."
"Sudah sampai masanya kita mengadakan kajian semula kerana pelan kecemasan bagi menghadapi segala kemungkinan yang kita buat itu sudah lama," katanya, sambil menambah antara aspek yang perlu dilihat ialah pembabitan badan bukan kerajaan dan segala kekurangan daripada segi pembayaran.
Beliau turut menyebut Badan Pencegah Rasuah dan Jabatan Peguam Negara sebagai agensi kerajaan yang perlu memberikan perhatian kepada tanggungjawab berat yang dipikul oleh mereka.
"Ini semua perlu diberikan perhatian kerana kita tidak mahu bila jadi apa-apa, orang kata JPM lewat, iaitu kita pula jadi agensi yang dijadikan alasan bila sesuatu perkara itu terlewat dan tidak dapat dilaksanakan," katanya.

