Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SEMENYIH | Selepas beberapa hari pertama yang hambar, akhirnya kempen PRK Semenyih semakin meriah dengan perang bendera antara parti di sepanjang jalan di sekitar DUN itu.

Tamat minggu pertama kempen, pergerakan jentera parti dan calon yang bertanding tampak kian rancak.

Yang menjadi perhatian pastilah dua gergasi iaitu Pakatan Harapan (PH) dan BN dengan strategi masing-masing dalam menggerakkan jentera mereka.

PH diwakili Muhammad Aiman Zainali manakala BN oleh Zakaria Hanafi. Dua lagi calon adalah Nik Aziz Afiz Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan Kuan Chee Heng yang popular dengan jolokan 'Uncle Kentang' (Bebas).

Pada PRU ke-14, PH merampas Semenyih - kerusi tradisi BN - dengan majoriti bergaya 8,964 undi. Bagaimanapun majoriti selesa itu tidak terzahir melalui penguasaan pusat daerah mengundi (PDM) yang sengit. Daripada 23 PDM di DUN Semenyih, PH menang 13 manakala BN menguasai sepuluh.

Jika dilihat daripada pergerakan jentera PH dan BN, jelas tampak perbezaan dalam strategi kempen kedua-dua gabungan itu.

Banyak program anjuran PH tertumpu di kawasan sepanjang Jalan Semenyih. Hampir 60 peratus aktiviti yang melibatkan pemimpin PH diadakan di lokasi yang tidak jauh daripada jalan utama ini.

Ia boleh difahami kerana Jalan Semenyih merentasi PDM yang dikuasai PH, seperti Semenyih Barat, Kampung Baru Semenyih, Pekan Semenyih, Bandar Rinching (Seksyen 1-4 dan Seksyen 5-6), dan Bandar Tasik Kesuma.

Kawasan-kawasan ini merupakan pekan yang sedang pesat membangun dengan premis perniagaan dan pasar raya, atau taman-taman perumahan terancang (lama dan baru) yang semakin padat dengan penduduk.

Di sebalik penguasaan PH, sebahagian kawasan itu boleh dianggap sebagai ‘kawasan berisko’ buat gabungan itu. Walaupun menang di sana pada PRU lalu, ia boleh bertukar menjadi 'kawasan 50-50' selepas mengambil kira kerjasama PAS dan Umno.

Daripada lapan PDM berisiko di keseluruhan DUN, empat daripadanya berada di sepanjang Jalan Semenyih, iaitu Kampung Tanjong, Bandar Rinching Seksyen 5-6, Bandar Tasik Kesuma dan Beranang.


BacaPH berdepan tugas sukar pujuk pengundi


Di samping itu, Jalan Semenyih juga terletaknya sempadan beberapa PDM, menjadikannya tempat strategik bagi menjalankan kempen yang boleh dikunjungi penduduk daripada beberapa PDM sekaligus.

Tumpuan PH di sempadan PDM juga boleh dilihat di bahagian utara Semenyih, iaitu Tarun dan Hulu Semenyih. Kedua-duanya jauh lebih besar daripada PDM lain tetapi mempunyai jumlah pengundi yang secara relatifnya rendah.

Di sana, kegiatan PH bertumpu di sekitar Jalan Sungai Lalang yang boleh dianggap sebagai pemisah antara dua PDM itu.

Apa yang menarik - ia dikuasai oleh pihak berbeza dengan Tarun dimenangi PH manakala Hulu Semenyih oleh BN.

Bagi BN pula, susunan programnya lebih meluas dan seragam di seluruh DUN, sama ada bandar atau pun kampung.

Mungkin dalam usaha menarik undi penyokong PH di kawasan bandar (berdasarkan trend pengundian PRU-14), BN tidak mahu tercicir sokongan padu yang dinikmati mereka di kawasan kampung.

Pada PRU-14, BN menguasai kawasan-kawasan kampung di PDM Sesapan Batu Rembau, Sesapan Batu, Sungai Jai, Kampung Batu 26 Beranang, Sesapan Kelubi, Kuala Pajam, Sungai Kembung, Rinching, Semenyih Selatan dan Hulu Semenyih.

Misi khas 'Bossku'

Jentera kempen PH disokong oleh beberapa nama besar seperti Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Presiden Bersatu Muhyiddin Yasssin, dan barisan menteri kabinet seperti Mujahid Yusof Rawa, Mohamad Sabu, Mohamed Azmin Ali dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagi BN pula, kempen diketuai pemimpin-pemimpin utama Umno antaranya Annuar Musa, Noh Omar, Khairy Jamaluddin, Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein.

Namun dari segi populariti BN sedikit mendahului terutama dengan kehadiran bekas perdana menteri Najib Abdul Razak yang dilihat berjaya mencuri perhatian penduduk.

Najib yang kini popular dengan jolokan ‘bossku’ itu seolah-olah mempunyai misi khas apabila programnya mengambil tempat di PDM berisiko seperti di Bukit Mahkota, Beranang, Bandar Tasik Kesuma dan Bandar Rinching Seksyen 5-6.

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi juga kian giat berkempen - berbeza dengan PRK Cameron Highlands sebelum ini. Presiden Umno yang sedang bercuti itu akan mengadakan siri kedua 'Ride Makmurkan Rumah Allah' hari ini, selepas kali pertama pada 19 Februari lalu.

Bagaimanapun setakat ini kelibat pemimpin-pemimpin tertinggi PAS masih belum kelihatan biarpun akar umbi parti itu dilihat kuat menyokong jentera BN di PDM yang terlibat.

Kehadiran pemimpin tertinggi PAS begitu dinanti bagi melihat sejauh mana tahap kerjasama BN-PAS terjejas ekoran kontroversi baru-baru ini apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih. Dakwaan itu dinafikan oleh PAS.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa ketika ditemui turut menafikan perkara itu, dan menyifatkan sokongan jentera PAS terhadap BN di Semenyih lebih kuat berbanding di Cameron Highlands.

Katanya, beberapa pemimpin PAS sebenarnya telah pun banyak membantu kempen, namun ia tidak terlihat kerana mereka lebih menumpukan kempen rumah ke rumah, bukan ceramah umum.

Pemimpin tertinggi DAP juga masih tidak kelihatan membantu jentera PH.

Untuk rekod, DUN Semenyih mempunyai 68 peratus pengundi Melayu, Cina (17 peratus) dan India (14 peratus).

Kempen cara pembangkang, pemerintah

Dari segi pengisian di ceramah-ceramah umum dan ceramah kelompok pula, BN setakat ini mengambil pendekatan menyerang PH berkenaan janji manifesto yang belum dapat ditunaikan.

Selalu mengulangi ungkapan ‘hancing’ bagi menggambarkan kegagalan PH menunaikan manifesto, penceramah BN juga membangkitkan apa yang disifatkan mereka sebagai sumbangan gabungan itu terhadap penduduk sebelum ini.

Seperti dijangka, soal Melayu-Islam dan dakwaan kedua-dua perkara itu kini dalam ancaman, terutama oleh DAP, turut menjadi senjata utama BN.

Malah ada penceramah yang berkata "setiap undi akan dipersoal di akhirat". Menurut mereka, orang Islam mempunyai tanggungjawab menyokong parti yang tidak akan memudaratkan Islam dan Melayu.

Seperti BN, tumpuan ceramah PH juga tidak banyak berubah. Isu penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pentadbiran BN sekali lagi dibangkitkan, dengan ungkapan 'perompak' dan 'pencuri' mewarnai ceramah, selain menjawab beberapa keputusan kerajaan yang kurang disenangi seperti spekulasi pemotongan subsidi oleh Tabung Haji.

Selain itu, kecemerlangan pentadbiran Selangor bawah PH sejak 2008 juga turut digunakan bagi meyakinkan pengundi agar terus memilih PH.

Sama seperti BN dulu, PH turut membangkitkan pentingnya 'keserasian' antara DUN, kerajaan negeri dan kerajaan pusat - dengan kata lain, bawah pentabdiran pihak sama - agar urusan pentadbiran dapat berjalan dengan lebih lancar.

Hari ketuju kempen bakal menyaksikan kehadiran Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

Tempoh kempen yang berbaki seminggu dijangka semakin panas apabila pemimpin-pemimpin tertinggi PH dan BN dijangka mula turun berkempen sebelum berlangsungnya hari pengundian pada 2 Mac.

 

Lihat Komen
ADS