Malaysiakini
BERITA

Saya tak perlukan sokongan PAS, kata Mahathir

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Feb 2019, 8:01 pagi

Dr Mahathir Mohamad, hari ini menegaskan beliau tidak memerlukan sokongan daripada parti pembangkang khususnya PAS.

Sebaliknya, kata perdana menteri beliau hanya perlukan sokongan Pakatan Harapan (PH).

“Saya perlu sokongan wakil rakyat setakat 50 peratus lebih.

“Saya tak perlu sokongan daripada PAS kerana PH sendiri mempunyai lebih daripada separuh kerusi dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Klang, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas apakah beliau benar-benar memerlukan sokongan PAS.

Mahathir semalam dilapor berkata beliau tidak faham dengan sikap PAS yang berpendirian tidak tetap dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri.

Pengerusi PH itu berkata, baru-baru ini beberapa pemimpin PAS menemui dan menyatakan sokongan agar beliau kekal sebagai perdana menteri.

Namun, katanya, dalam situasi lain parti itu melakukan tindakan dilihat tidak menyokongnya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata jika benar PAS mahu memberikan sokongan, parti itu harus menyatakan dukungan kepada PH, bukannya untuk beliau saja.

"Sokongan itu (sepatutnya) sokongan daripada (parti) yang sudah pun menang, bukan daripada mereka yang nak kalah tetapi nak bagi menang.

“Tetapi kalau dia nak sokong, dia sokonglah. Tak usahlah cakap (sokongan hanya) kepada saya, tandatangan surat konon nak sokong saya tapi tak sebut nak sokong PH, cuma (kata) nak sokong saya saja.

“Saya bukan kerajaan, kerajaan mestilah PH,” katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.