Malaysiakini
BERITA

Tak ada siapa beritahu saya bakal jadi IGP, kata Hamid Bador

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Feb 2019, 9:39 pagi

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Hamid Bador, tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai spekulasi bahawa kerajaan akan melantiknya sebagai ketua polis negara (IGP) yang baru.

“Hingga kini, saya tidak dimaklumkan sebarang maklumat kononnya saya bakal dilantik sebagai IGP, dan tiada sesiapa pun yang memberitahu bahawa saya sebagai bakal menjadi orang nombor satu dalam PDRM.

“Bagi saya, pada masa ini apa yang penting adalah menumpukan segala tugas yang diamanahkan bagi memastikan keselamatan rakyat, ketenteraman awam serta keharmonian kaum di negara ini dikekalkan,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Spekulasi bertiup kencang sejak Sabtu lalu menerusi WhatsApp yang kononnya bahawa Hamid Bador bakal menggantikan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun yang akan menamatkan perkhidmatannya pada Mei ini.

Menurut kiriman mesej yang tular itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN), memilih Hamid Bador sebagai IGP; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Acryl Sani Abdullah Sani sebagai timbalan IGP yang baru menggantikan Noor Rashid Ibrahim, yang bakal bersara Mac ini.

Mengulas lanjut, Hamid Bador berkata pada masa ini beliau hanya menumpukan tugas sebagai orang nombor satu dalam bahagian perisikan polis bagi memastikan proses penyaluran maklumat mengena aspek keselamatan negara berjalan lancar dan tepat.

Beliau berkata antara tumpuan utama cawangan khas pada masa ini adalah mengesan suspek utama kes penipuan 1MDB Low Teik Jho atau Jho Low.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.