Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kehidupan di dalam era Malaysia baru ini penuh dengan kecelaruan. Terutama sekali apabila hal yang dijanjikan kerajaan pada hari ini belum lagi boleh ditunaikan mereka, dan kalau ada pun, setakat melepaskan batuk di tangga atau asalkan ada.

Di dalam Buku Harapan, terdapat pelbagai inisiatif yang hendak dilakukan demi mengangkat prinsip tadbir urus dan ketelusan dalam sistem demokrasi berparlimen negara.

Sebarang inisiatif yang dilihat baik demi kemakmuran semua, saya alu-alukan. Namun amat memalukan sekali, pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dijanjikan adalah tidak sehebat apabila ia mula dilolong dan dipekikkan dahulu. Maka rakyat pun rasa ditipu dan diperdaya.

Begitu juga di Johor. Kerajaan negeri PH sebenarnya keliru dan tidak tahu apa-apa mengenai pengamalan nilai demokrasi terbaik seperti yang mereka laungkan.

Ini amatlah jelas apabila menteri besar Johor sendiri telah mendakwa, pada 5 Disember lepas bahawa “Amalan demokrasi yang diamalkan Kerajaan Negeri PH pada masa ini lebih baik berbanding sistem demokrasi yang dipraktikkan kerajaan negeri terdahulu” meski hakikatnya ia bukanlah seperti yang diperkatakan.

Cereka elaun dan bilik

Beliau menganggap bahawa dengan memperuntukkan elaun kepada ketua pembangkang dan menyediakan sebuah bilik, maka demokrasi dan prinsipnya sudah ditegakkan. Ini amat mengecewakan kerana beliau seakan tidak faham tentang kepentingan semak dan imbang dalam berkerajaan.

Badan kerajaan tanpa instrumen semak dan imbang yang berfungsi, akan terdedah kepada kekalutan dan kepincangan.

Sama ada ia akan menjadi a one man show government atau a passive government. Sebuah kerajaan yang memusatkan kuasa hanya kepada satu individu akan membuka seribu ruang penyelewengan, manakala kerajaan yang pasif pula tidak akan memberi sebarang kemajuan kepada rakyat dan negeri.

Di dalam artikel A Fine Line Between Democracy and Kakistocracy, saya pernah bertanya kepada menteri besar tentang apa yang beliau maksudkan dengan penerapan amalan demokrasi dan mengiktiraf peranan ketua pembangkang.

Namun ia masih tidak berjawab, mungkin beliau sedang sibuk berkerajaan, sehingga melupakan persoalan pokok yang diajukan.

Fungsi seorang ketua pembangkang di dalam demokrasi yang matang tidak terhad di dalam Dewan Undangan Negeri sahaja. Ia harus menjadi suara dan rujukan alternatif kepada government of the day. 

Mengukuhkan fungsi ketua pembangkang

Berhujah dan memberi pandangan mengenai polisi kerajaan negeri yang diputuskan saban hari. Oleh yang demikian, ketua pembangkang perlu dibenarkan dan digalakkan penglibatannya di dalam mesyuarat-mesyuarat penentu dasar, selain menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Negeri (PAC) seperti yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang, contohnya.

Selain itu, sudah tiba masanya untuk ditubuhkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas atau Special Select Committee yang melihat dan membincangkan pelbagai isu-isu berkepentingan untuk memberikan syor-syor yang munasabah bagi pertimbangan kerajaan negeri.

Ini bakal membuka ruang kepada banyak lagi inisiatif dan perubahan yang boleh diambil bagi memperkasa fungsi Dewan Undangan Negeri itu sendiri, sebagai sebuah institusi demokrasi tertinggi negeri.

Untuk mengangkat gagasan ‘Demokrasi Dinamik dan Kesaksamaan Sosial’, seperti yang dinyatakan di dalam Bajet 2019 Negeri Johor, kerajaan PH haruslah ikhlas dan bersungguh dalam merealisasikannya.

Semua ini adalah untuk menggalakkan tadbir urus yang berhemah dan telus, merentasi perbezaan ideologi politik.

Sudah lebih sembilan bulan berlalu, dan tiada penzahiran yang jelas terhadap nilai dan amalan demokratik di Negeri Johor. Ia seakan satu lagi janji yang dinodai atas ketidakmampuan mereka. Atau mungkin juga kerana Menteri Besar sendiri yang tidak berkemahuan untuk melaksanakannya.

Ada banyak keganjilan yang berlaku di negeri Ujong Tanah ini. Akan saya ceritakan selebihnya pada tulisan yang lain pula.


HASNI MOHAMMAD merupakan ketua pembangkang Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS