Malaysiakini BERITA

Sama-sama berpeluh di Semenyih

Haspaizi Zain

Diterbitkan

ULASAN | Berbaki tempoh tidak sampai seminggu, kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semakin hangat dan menjadi tumpuan seluruh negara.

Hujung minggu menyaksikan pemimpin utama parti bertanding khususnya Pakatan Harapan (PH) dan BN dilihat masing-masing mula berkampung di pekan Semenyih yang perjalannya mengambil masa-masa kira-kira satu jam dari ibu negara Kuala Lumpur.

Masing-masing calon yang berkempen sama ada PH mahupun BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon bebas, semuanya sedang memaksimumkan usaha untuk bertemu seramai mungkin pengundi di Semenyih bagi meraih sokongan.

BN dan PH yang memiliki pengalaman serta jentera yang teratur mempunyai sedikit kelebihan dengan jadual perjalanan calon yang agak tersusun meskipun di awal-awal kempen ada sedikit kekalutan.

PH yang mempertaruhkan anak muda Muhammad Aiman Zainali bagi mempertahankan kerusi DUN Semenyih tidak berdepan laluan mudah untuk mencipta kemenangan pada 2 Mac nanti.

Bahkan calon PH itu dilihat terpaksa "bermandi peluh" untuk meraih sokongan pengundi apatah lagi mahu mengekalkan jumlah majoriti yang dimenangi PH pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Bagi BN yang mempertaruhkan Zakaria Hanafi pula dilihat berjaya menghidu peluang untuk merampas kembali kerusi berkenaan, namun ia tidaklah semudah PRK Cameron Highlands yang dimenangi parti itu Januari lalu.

BN mengatur langkah dengan program secara kecil-kecilan seperti ziarah kasih dengan bertemu pengundi rumah ke rumah dengan kerjasama jentera PAS di peringkat akar umbi.

Jentera Umno, PAS di peringkat akar umbi di lihat seiringan dan PAS diberi tugas untuk menarik sokongan pengundi dalam kawasan kubu kuat mereka.

Parti yang mendominasi kerajaan lebih 60 tahun sebelum tewas dalam PRU ke-14 lalu tidak memberi tumpuan kepada ceramah-ceramah berskala besar, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada ceramah kelompok di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Dengan pecahan pengundi mengikut kaum yang menyaksikan pengundi Melayu hampir 70 peratus di Semenyih, BN dan PAS dilihat lebih memberi fokus kempennya di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Sentimen Melayu yang kini tidak senang dengan kerajaan PH hari ini dengan pelbagai isu yang menyentuh orang Melayu termasuk isu Tabung Haji, kos sara hidup dan sebagainya dimanfaatkan BN untuk menguasai sokongan pengundi.

Kehadiran bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini sinonim dengan "bossku" juga dilihat memberi tumpuan pada kawasan pengundi majoriti Melayu.

Dengan populariti yang dimiliki kini, Najib nampaknya berjaya mengusai perhatian rakyat Semenyih daripada pelbagai lapisan usia termasuk anak muda dan golongan pertengahan.

Bahkan kehadiran Najib juga dilihat lebih mendapat sambutan berbanding dengan program pemimpin PH lain termasuk Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Namun, kehadiran pemimpin utama PH seperti Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan jumlah kehadiran yang cukup ramai dilihat memberi suntikan kepada jentera PH dengan baki kempen yang ada.

Sokongan anak muda terhadap dua parti yang menjadi tumpuan ini masih sukar untuk diterjemahkan, apakah "bossku" berjaya menarik sokongan anak muda kepada BN ataupun anak muda masih kekal sokongan kepada PH mungkin dapat dilihat dalam masa terdekat nanti.

Bagaimanapun, sokongan anak muda kepada PH dijangka akan merosot kerana beberapa keputusan tidak popular diambil kerajaan PH menimbulkan kemarahan dalam kalangan anak muda.

Presiden Umno yang kini sedang bercuti, Dr Ahmad Zahid Hamidi juga turut turun berkempen bagi membantu calon BN. Malah, Ahmad Zahid dengan program tersendiri yang bersifat santai lebih memberi fokus kepada golongan berusia khususnya jemaah masjid dan surau.

Pengundi Cina dilihat masih lagi menjadi kelebihan kepada PH begitu juga dengan pengundi India. Bagaimanapun BN dijangka mampu "mencuri" sedikit sokongan India, namun sukar untuk menarik sokongan pengundi Cina.

Bahkah jentera MCA juga dilihat agak "lesu" berbanding jentera DAP yang lebih tersusun dan mendapat tempat ketika berkempen untuk calon PH.

Pengumuman kerajaan untuk mengambil alih beberapa konsesi tol dengan pengecualian bayaran tol pada waktu tertentu hanya memberi sedikit kesan untuk dijadikan menjadi modal kempen PH.

Namun, ia masih gagal menarik sokongan besar rakyat Semenyih kepada PH seperti mana PRU-14 lalu.

Bagi calon PSM Nik Aziz Abdul Afiq dilihat sekadar "penyeri" kepada kempen PRK DUN Semenyih, kehadiran calon itu bagaikan tidak dirasai oleh masyarakat tempatan di situ.

Begitu juga dengan calon Bebas Kuan Chee Heng ataupun lebih dikenali sebagai "Uncle Kentang" juga dilihat tidak menggugat sokongan rakyat kepada calon PH dan BN.

Meskipun niatnya murni untuk berkhidmat kepada rakyat, namun masyarakat Malaysia masih sukar untuk menerima calon bertanding tanpa parti kerana khuatir dari segi keupayaan membela nasib rakyat.

Kedua-dua mereka dilihat lebih kepada "gangguan" untuk memecah undi.

Namun apa yang lebih, jika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turun berkempen ke Semenyih pada saat-saat akhir ia petanda laluan sukar untuk PH mempertahankan kerusi terbabit.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.