Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sejumlah dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.15 juta dan sepucuk pistol jenis Revolver berjaya dirampas polis Kelantan dalam dua kes berasingan di Rantau Pajang dan Kota Bharu, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam kes pertama melibatkan serbuan pada jam 12.30 tengah malam oleh sepasukan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta jenis Honda City dilihat mencurigakan di persimpangan lampu isyarat Rantau Panjang berdekatan sebuah stesen minyak.

Katanya, hasil pemeriksaan pihak Aksem ke atas kenderaan tersebut menjumpai satu beg galas berwarna hitam yang mengandungi 12 bungkusan berwarna kekuningan.

"Pemeriksaan lanjut pada bungkusan berkenaan terdapat tiga bungkusan plastik cerah dengan balutan kekuningan dan paket plastik berwarna biru mengandungi pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil Yaba.

“Anggaran keseluruhan pil yang dirampas 72,000 biji, seberat 8.4 kilogram (kg) dengan anggaran nilai semasa dadah RM1,080,000,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Menurut Hasanuddin, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes kedua sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu menyerbu sebuah rumah di Kok Lanas, kira-kira jam 12.30 tengah malam, Ahad lalu.

Hasanuddin berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan empat lelaki dan menemui satu paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan sejambak kunci di ruang tamu tingkat atas rumah berkenaan.

"Hasil siasatan lanjut salah seorang suspek telah membawa pihak polis ke rumah lain di kawasan sama dan polis berjaya menemukan beberapa lagi bungkusan jenis dadah heroin, syabu dan sepucuk pistol jenis Revolver tanpa peluru dalam sebuah almari.

"Suspek ditangkap berumur lingkungan 24 hingga 53 tahun yang bekerja sebagai penternak lembu, buruh kasar dan kontraktor binaan.

"Hasil pengakuan suspek, dadah dan senjata api itu diperolehi daripada pembekal (dadah) warganegara Thailand di Pengkalan Haram Pohon Jambu di Pekan Golok," katanya.

Tambah beliau, bekalan dadah itu dipercayai untuk dipasarkan sekitar Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Terengganu, manakala senjata api itu diperolehi secara percuma untuk kengunaan peribadi.

"Hasil rampasan dalam kes kedua ini melibatkan dadah jenis heroin sebanyak 290 botol seberat 1.629kg, syabu dan senjata dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM71, 980.

"Kita juga turut menyita empat buah kereta di mana dua buah daripadanya kereta mewah, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM360,700 " jelas Hasanuddin.

Keempat suspek juga direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lihat Komen
ADS