Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG dapat kebenaran mula prosiding hina mahkamah ke atas Arun Kasi
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 2:19 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh Peguam Negara (AG) Tommy Thomas untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap seorang peguam yang didakwa telah mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah.

Hakim Tan Sri Ramly Ali, yang mempengerusikan sidang panel tiga hakim, membenarkan Thomas untuk memulakan prosiding terhadap peguam Arunachalam Kasi, yang dalam dua artikel yang disiarkan portal dalam talian, Aliran, didakwa telah membuat kritikan berkaitan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Abdul Hamid Abu Backer mengenai dakwaan salah laku hakim.

Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk mendengar penghujahan oleh kedua-dua belah pihak (pemohon dan responden).

“Kes di hadapan kami adalah satu permohonan ex-parte. Ia mengenai skandal melibatkan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

"Perbuatan yang diadukan berkait dengan dua artikel oleh responden (Arunachalam Kasi atau dikenali sebagai Arun Kasi) yang diterbitkan pada 16 Feb dan 22 Feb 2019, di laman sesawang Aliran.

“Setelah mempertimbangkan penghujahan dan kertas-kertas mahkamah, kami berpuas hati bahawa semua prosedur yang diperlukan untuk memohon kebenaran telah dipenuhi.

"Kami, dengan ini, membenarkan perintah yang dimohon oleh pemohon,” kata Hakim Ramly, yang bersidang bersama-sama hakim-hakim Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan oleh Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang mewakili Peguam Negara.

Amarjeet Singh menghujahkan bahawa Arun, yang juga seorang peguam bela dan peguam cara, telah menulis dua artikel yang diterbitkan dalam laman sesawang Aliran di bawah tajuk “How a dissenting judgment sparked a major judicial crisis“ (Bagaimana satu keputusan menentang mencetuskan krisis kehakiman) bertarikh 16 Feb 2019, dan “Tommy Thomas must look into arbitration centre that sparked judicial crisis” (Tommy Thomas perlu menyiasat pusat arbirasi yang mencetuskan skandal kehakiman) bertarikh 22 Feb 2019.

Beliau berkata dalam kedua-dua artikel itu, beliau telah mengkritik perjalanan prosiding Mahkamah Persekutuan dan keputusan mahkamah pada 11 Nov 2018, dalam kes PCP Construction lwn Leap Modulation (Kes Leap Modulation).

“Kenyataan-kenyatan dalam artikel berkenaan merujuk kepada kejanggalan dalam melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman oleh hakim-hakim yang telah memberikan keputusan dalam kes Leap Modulation.

“Kelakuan dan kejanggalan yang dilakukan dalam kes ini dikatakan menuntut satu siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Responden pada 9 Feb 2019 telah membuat aduan tersebut terhadap kejanggalan yang dilakukan dalam kes itu,” katanya.

Amarjeet Singh berkata penghinaan yang diakukan itu adalah menghina skandal atau campurtangan dalam melaksanakan keadilan.

Beliau berkata telah berlaku campurtangan jika terdapat perbuatan atau kenyataan yang menjejaskan keyakinan orang ramai dalam pelaksanaan keadilan.

“Kuat kuasa undang-undang terletak pada keyakinan orang ramai dan adalah penting untuk kestabilan masyarakat, keyakinan orang ramai tidak sepatutnya diganggu-gugat dengan serangan-serangan yang tidak berasas terhadap integriti dan kesaksamaan hakim-hakim," kata beliau.

Beliau seterusnya berhujah bahawa Peguam Negara telah mengenal pasti kenyataan-kenyataan bersifat serangan dalam artikel-artikel berkenaan, yang mungkin membawa maksud demikian jika artikel-artikel berkenaan dibaca secara keseluruhannya.

Beliau berkata, Arun, dalam artikel keduanya telah mempertikaikan kenapa Mahkamah Persekutuan membuang kata-kata Hakim Abdul Hamid mengenai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dalam penghakiman kes Leap Modulation.

Amarjeet Singh berkata kenyataan dalam artikel kedua tersebut menjerumuskan hakim-hakim ke dalam skandal, yang antara lain bermaksud pembuangan sebahagian daripada penghakiman bercanggah tanpa rayuan tidak pernah berlaku sebelum ini dan perintah pembuangan itu dibuat tanpa mendengar pandangan sebaliknya daripada pihak-pihak yang sebenarnya.

Beliau juga berkata kedua-dua artikel tersebut juga menyindir hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar dan memberi keputusan dalam kes Leap Modulation sebagai bersalah kerana berbuat salah laku dan kesumbangan dalam melaksanakan tugas-tugas kehakiman, terlibat dalam kegiatan rasuah dan telah mengorbankan integriti mereka, yang mewajarkan satu siasatan dijalankan oleh SPRM.

Beliau berkata Arun telah membuat kenyataan-kenyataan yang tidak benar dan ini ditunjukkan oleh Transkrip Mahkamah mengenai prosiding berkenaan bertarikh 11 Nov 2018, dalam kes Leap Modulation itu.

“Kenyataan-kenyataan yang disebut dalam artikel-artikel berkenaan, jika dibaca secara keseluruhannya atau secara individu, memberi tanggapan dan membawa tuduhan yang merendahkan maruah, mencaci dan menyerang maruah, integriti dan kesaksamaan Mahkamah Persekutuan yang berkemungkinan boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS